X Close

MTA Adakan Mesyuarat Pertama Rabu Ini

Diterbitkan: Isnin 30 Apr, 2012

PETALING JAYA: Selepas hampir dua tahun Persatuan Taekwando Malaysia (MTA) dibatalkan pendaftaran mereka oleh Pesuruhjaya Sukan pada tahun 2010, kini persatuan itu kembali bernafas dan dijangka akan mengadakan mesyuarat pertama bagi merencanakan beberapa program persatuan tersebut.

Persatuan itu dihidupkan semula berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 April lalu berpihak kepada MTA.

Timbalan Presiden Taekwando Selangor (WTF), Eddie Tuan berkata, keputusan itu amat menggembirakan dan dijangka MTA akan mengadakan mesyuarat kali pertama selepas dibubarkan.

“Satu mesyuarat akan diadakan pada 2 Mei ini dan pihak persatuan akan membincangkan perkara-perkara yang berkaitan termasuk program atau aktiviti yang akan dijalankan.

“Walaupun Pesuruhjaya Sukan masih menganggap Taekwando Malaysia (TM) sebagai badan induk sukan taekwando negara ini, kami kini menunggu perintah mahkamah untuk perkara ini dan akan mengadakan sidang media sebaik sahaja menerima keputusan tersebut.

“Harapnya dalam tempoh dua minggu ini kami dapat keputusan terbaru mahkamah,” katanya kepada mstar Online.

Eddie juga berkata, perjumpaan yang akan diadakan nanti turut akan membincangkan mengenai ahli jawatankuasa persatuan bagi mengisi beberapa kerusi kosong dalam MTA.

“Ramai yang sudah tidak ada dalam MTA. Jadi kami juga akan turut berbincang mengenai persatuan-persatuan negeri yang akan kembali ke MTA dan bagaimana caranya," tambahnya.

Kemelut MTA bermula apabila Pesuruhjaya Sukan membatalkan pendaftaran persatuan itu pada Februari, 2010 kerana didakwa menghalang pembangunan sukan taekwondo di negara ini.

Sejak dibubarkan TM mengambil alih tampuk pimpinan sukan taekwando negara.

MTA kemudian membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Menteri Belia dan Sukan selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997. Bagaimanapun, menteri berkenaan mengekalkan keputusan Pesuruhjaya Sukan.

Pada Julai 2010, MTA menerusi bekas presidennya Raja Taharuddin Raja Nong Chik dan Nur Ekmal, MTA telah memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan mendapatkan perintah ‘certiorari’ bagi membatalkan kedua-dua keputusan Menteri Belia dan Sukan dan Pesuruhjaya Sukan itu.

iklan

iklan

Iklan