X Close

Yusof Haslam Nafi Sudah Bersara Mengarah

Diterbitkan: Isnin 30 Apr, 2012

Yusof Haslam.

PETALING JAYA: Pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam menolak dakwaan dirinya sudah tidak berminat untuk mengarah selepas anaknya Syamsul Yusof menyerlah dalam bidang pengarahan.

Yusof berkata, beliau masih terlibat dalam pengarahan drama-drama televisyen seperti Gerak Khas, Roda-Roda Kuala Lumpur dan sebagainya namun mengakui sudah lama tidak mengarah filem.

"Saya masih aktif mengarah drama buat masa ini tetapi pada masa sama memberi ruang kepada anak saya iaitu Syamsul dan Syafiq untuk menyerlah dalam pengarahan filem.

"Bukan bersara tetapi rasanya biarlah mereka pula mengambil alih kerana idea orang muda ni lain sikit daripada saya yang sudah berusia," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Yusof, beliau tidak perlu lagi membuktikan apa-apa kepada industri kerana telah terlibat dalam landasan tersebut selama 40 tahun.

"Saya sudah berjuang cukup lama dan telah capai apa yang saya mahukan sebagai seorang penerbit, pengarah dan pelakon. Tiada apa yang perlu saya buktikan lagi.

"Biarlah anak-anak pula yang menyambung legasi tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Yusof berkata, selain mengarah drama, beliau juga banyak melakukan kerja-kerja pengurusan syarikatnya iaitu Skop Production Sdn Bhd bagi memastikan semua perancangan berjalan lancar.

Syamsul Yusof.

Yusof memberitahu, jika tidak mengarah beliau akan menghabiskan masa di pejabat untuk menyelesaikan kerja-kerja yang menuntut pemerhatiannya.

"Jika tidak mengarah dan kerja di pejabat kurang saya akan turun ke lokasi penggambaran filem anak-anak saya untuk tengok mereka bekerja.

"Sambil-sambil tu saya akan memberikan serba sedikit tips bagi mencantikkan lagi sesebuah filem itu," ujarnya.

Sementara itu, Yusof berkata beliau bangga dengan pencapaian anaknya itu dan Syamsul yang disifatkan telah menyambung legasi dan impiannya yang tidak tercapai.

Bagaimanapun kata Yusof, beliau sentiasa menasihati anaknya itu supaya tidak lupa diri dengan kejayaan yang datang dan mengingatkannya supaya sentiasa merendah diri.

"Syamsul masih muda dan mungkin akan tergelincir jika tidak berpegang kepada nilai-nilai yang baik.

"Oleh itu, saya sebagai bapa perlu sentiasa menasihatinya," katanya.

iklan

iklan

Iklan