X Close

Bekas Askar Dihukum Penjara Tambahan Kerana Bersalah Merogol

Diterbitkan: Selasa 17 Apr, 2012

KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota tentera berpangkat lans koperal, yang sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan merogol, pada Selasa dihukum penjara 15 tahun lagi dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan merompak dua orang wanita, tahun lepas.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memerintahkan bekas anggota tentera itu, Hamzi Amni Zamali, 26, menjalani hukuman secara serentak selepas dia tamat menjalani hukuman pemenjaraan selama 13 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan merogol dan mencederakan seorang wanita, kesalahan yang dilakukannya sebelum ini.

Hakim Emelia Kaswati turut menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan lima sebatan terhadap rakannya, yang merupakan seorang penganggur, selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan merogol dan dua pertuduhan merompak kedua-dua wanita sama.

Nor Shahidi Othman, 19, diperintahkan menjalani hukuman itu secara serentak dan mereka perlu menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan melaporkan diri di balai polis selepas tamat menjalani hukuman.

Hamzi Amni didakwa merogol wanita berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pendandan rambut di dalam bilik sewa No. 313, B500-4-14, Wisma Indah, Pudu pada pukul 3.45 pagi, 1 Ogos 2011.

Bapa kepada empat orang anak itu turut didakwa merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang lagi wanita berusia 20 tahun, juga seorang pendandan rambut pada pukul 4 pagi pada tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan merogol kedua-dua wanita itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana melakukan persetubuhan luar tabii.

Nor Shahidi dijatuhi hukuman penjara dan sebatan kerana merogol wanita berusia 20 tahun di tempat dan pada tarikh sama pada pukul 3.45 pagi.

Bagi pertuduhan merogol, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan manakala kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua tertuduh turut didakwa pada tempat dan tarikh yang sama merompak wang tunai RM800, dua utas gelang emas, dua bentuk cincin dan sebuah play station portable (PSP) milik wanita 21 tahun itu pada pukul 3.30 pagi dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.

Bagi pertuduhan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mereka juga dihukum hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan kerana merompak telefon bimbit jenama Sony Ericsson milik wanita berusia 20 tahun itu dengan menggunakan senjata sama pada masa dan tempat yang sama.

Mengikut fakta kes, pada 8.30 malam, 31 Julai tahun lepas, kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kota Tinggi, Johor didatangi dua lelaki yang memintas kenderaan mereka dan seorang daripadanya memperkenalkan diri sebagai ASP Nizam dari Bukit Aman mendakwa kereta yang dinaiki mangsa membawa dadah dan mereka perlu dibawa ke Bukit Aman untuk pemeriksaan.

Mereka yang dibawa ke rumah tumpangan di Wisma Indah, Pudu telah dirogol dengan mulut kedua-duanya ditutup dengan pita pelekat dan tangan diikat serta diugut oleh Hamzi Amni untuk memotong kaki jika mereka enggan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tania Arrissa Andi Samrang manakala Hamzi Amni diwakili peguam Shahrul Nizam Azwir dan Nor Shahidi diwakili peguam Haris Salleh.

Pada 8 Mac lepas, mahkamah yang sama menjatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 16 sebatan terhadap Hamzi Amni selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan merogol dan mencederakan seorang wanita tiga tahun lalu. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan