X Close

Tiga Warga China Terkorban Dalam Kebakaran Lombong Di Sri Aman

Diterbitkan: Sabtu 31 Mac, 2012

KUCHING: Tiga lelaki, kesemuanya warga China, meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap semasa kebakaran di dalam lombong arang batu Lucky Hill di Abok, dekat Pantu, kira-kira 80km dari Sri Aman pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Mohamad berkata ketiga-tiga mangsa itu, dipercayai pelombong kanan yang bekerja dalam projek usahasama antara Malaysia dan Korea Selatan, dikenali sebagai Huang Jin Hua, 50, Deng Jian Hua, 49, dan Teng Xian Xai, 43.

"Mereka berkhidmat dengan Zhongding International Engineering Co Ltd berpangkalan di Nanchang, wilayah Jiangxi di China," katanya ketika dihubung Bernama di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa merupakan antara lima pekerja, termasuk jurutera teknik dan jurutera keselamatan, yang masuk ke dalam terowong untuk membuat penilaian sama ada selamat bagi pekerja meneruskan operasi selepas kebakaran itu mula dikesan kira-kira 8 pagi.

Insiden kedua berlaku kira-kira 3 petang.

Mat Jusoh berkata Teng meninggal dunia di Hospital Serian manakala dua mangsa lagi di Pusat Perubatan Timberland di sini.

Sebelas warga China turut dimasukkan ke pusat perubatan Timberland dan dua lagi ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk rawatan, katanya.

Lapan pekerja cedera ketika kebakaran mula berlaku. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan