X Close

Malaysia Rugi RM2.75 Bilion Akibat Jenayah Siber

Diterbitkan: Khamis 29 Mac, 2012

KUCHING: Negara mencatatkan anggaran kerugian sebanyak RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat daripada jenayah siber khasnya dalam sektor kewangan, kata Ketua Pembangunan Perniagaan CyberSecurity Malaysia Mohd Anwer Mohamed Yusoff di sini.

Beliau berkata kerugian turut dinilai dari beberapa sektor dan produk seperti nilai harta intelek dan nilai sesuatu maklumat yang dicetak rompak di alam siber.

"Tahap kesedaran keselamatan siber di kalangan organisasi dan individu di negara ini masih lagi rendah dan memang diakui semakin maju kita dalam dunia siber, semakin tinggi risiko jenayah siber yang bakal ditempuhi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis perjanjian persefahaman bersama (MoU) antara HeiTech Managed Services Sdn Bhd dan RAMA Resources Corporation Sdn Bhd dalam menganjurkan forum Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM) dan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS).

Katanya kerajaan melalui beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan sentiasa mengambil beberapa langkah dan pendekatan untuk meningkatkan kesedaran dalam keselamatan siber khasnya berkaitan teknologi maklumat yang kini menjangkau batas sempadan negara.

Menurutnya jenayah siber diakui bukan sahaja menjadi cabaran kepada negara membangun seperti Malaysia, malah ia juga turut dihadapi oleh negara maju.

Dalam pada itu, Ketua Seksyen SIRIM Berhad Haliza Ibrahim berkata setakat ini hanya 60 agensi dan syarikat di Malaysia yang mempunyai ISMS yang diiktiraf oleh SIRIM.

Katanya SIRIM berharap sektor kerajaan dan swasta di negara ini perlu lebih peka tentang pentingnya kesedaran keselamatan siber di setiap peringkat organisasi dan bukan hanya di peringkat atasan. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan