X Close

Empat Penguatkuasa KPDNKK Dituduh Rasuah

Diterbitkan: Selasa 27 Mac, 2012

JOHOR BAHRU: Empat penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan meminta rasuah bayaran bulanan daripada seorang pengusaha gas, tahun lepas.

P.Ramesh, 44, Saberi Mohd Zain, 34, Nik Sarulazizie Nik Mohamed, 36 dan Mohd Armey Zahari, 32, yang bertugas di KPDNKK Johor Baharu didakwa dengan niat bersama meminta rasuah bayaran bulanan daripada Heng Kok Liang, 38, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas Heng, yang melakukan aktiviti pemindahan gas subsidi kepada gas industri secara haram.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Singgah Selalu, L2, Plaza Kotaraya, di sini, kira-kira pukul 4 petang, 2 Ogos tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ramesh dan Saberi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan wang RM6,200 daripada Heng bagi tujuan sama di Restoran Selasih, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, kira-kira pukul 8 malam, 21 September tahun lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ramesh turut berdepan dengan dua lagi tuduhan iaitu bersetuju untuk menerima wang suapan dan menerima wang suapan daripada lelaki yang sama.

Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua kesalahan berkenaan.

Ramesh dituduh bersetuju menerima RM6,200 bagi tujuan sama melalui panggilan telefon, kira-kira pukul 9 malam, 2 Ogos tahun lepas dan dituduh menerima wang terbabit yang dijanjikan bagi diri sendiri dan pegawai-pegawai KPDNKK di tempat letak kenderaan berhadapan Bank CIMB, Taman Daya, di sini, kira-kira pukul 4 petang, 13 Oktober tahun lepas.

Saberi pula berdepan dengan satu lagi tuduhan iaitu menerima suapan wang RM600 juga daripada Heng yang juga pemilik Syarikat Elektronik Sin Heng Sdn Bhd di syarikat berkenaan, di nombor 27, Jalan Penaga 8, Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai, di sini, kira-kira-kira pukul 1.30 petang, 27 Julai tahun lepas.

Dia yang minta dibicarakan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan keempat-empat mereka diikat jamin RM5,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Noorfazlin Hamdan dan kesemua tertuduh diwakili peguam Asram Zakaria. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan