X Close

PBSNT Terima Tajaan Dari Syarikat Telekomunikasi Happy

Diterbitkan: Khamis 15 Mac, 2012

KUALA TERENGGANU: Prestasi dan kedudukan yang dibina pasukan Terengganu musim ini terus mendapat perhatian syarikat luar apabila sebuah syarikat telekomunikasi beroperasi di Pantai Timur, 'Happy' tampil memberi tajaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata kehadiran Happy sebagai penaja baru skuad Penyu menerusi kontrak sehingga hujung tahun ini merupakan bukti sokongan yang diberikan oleh syarikat luar dalam usaha memajukan perkembangan bola sepak di negeri ini.

"Penaja utama kepada Terengganu pastinya kerajaan negeri. Malah dengan adanya rakan-rakan penaja yang lain termasuk Happy, ia secara tidak langsung telah menaikkan semangat para pemain untuk lebih berjaya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika majlis menandatangani perjanjian penajaan antara PBSNT dan Happy di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini hari ini. Bagaimanapun Che Mat tidak mendedahkan nilai tajaan itu.

Menurut beliau Happy merupakan penaja ketujuh yang tampil menaja skuad Penyu sepanjang musim ini selepas beberapa syarikat antaranya barangan Sukan berjenama Specs yang menaja sebanyak RM300,000, Top IT (RM250,000) dan Zaid Enterprise (RM50,000).

Turut menjadi rakan penaja kepada pasukan itu adalah Ekspress Perdana dan TFC sebanyak RM50,000.

"Secara keseluruhan PBSNT menerima tajaan lebih daripada RM1 juta daripada pelbagai syarikat yang bekerjasama bersama PBSNT tahun ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Happy, Mohd Fairose Harun berkata pihaknya bersetuju menjalin kerjasama bersama PBSNT selepas mengambil kira pelbagai faktor positif.

"Memandangkan Happy mempunyai ramai pelanggan di Terengganu, maka amat sesuai untuk syarikat kami berdiri bersama-sama pasukan bola sepak negeri dalam memburu kejayaan," katanya.

Fairose juga memberi jaminan bahawa penajaan yang diberikan bukan semata-mata menjadi rakan telco tetapi pelbagai aktiviti bakal diadakan oleh Happy melibatkan pemain dan penyokong bola sepak negeri.

Untuk rekod selain Terengganu, Happy turut menjadi penaja kepada pasukan Kelantan FA.

Happy yang dilancarkan pada tahun 2007 merupakan jenama prabayar yang menawarkan kadar terendah di Pantai Timur. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan