X Close

Penggunaan Dadah Steroid Boleh Bawa Maut: Dr Ramlan

Diterbitkan: Selasa 28 Feb, 2012

KUALA LUMPUR: Demi mengejar impian dan menempa kejayaan dengan cara mudah dan singkat, atlet yang mengambil dadah terlarang sebagai jalan pintas untuk mencapai cita-cita sebenarnya berdepan risiko kematian tanpa mereka sedari.

Tindakan mengambil dadah terlarang, sama ada untuk meningkatkan prestasi, penenang atau menguatkan tubuh bukan hanya merosakkan masa depan mereka sebagai atlet sebaliknya dalam jangka masa panjang membawa mudarat sehingga boleh mengundang maut.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pengambilan dadah streiod seperti jenis Anabolic steroids boleh mengundang maut dalam jangka masa panjang.

"Pengambilan dadah jenis ini juga boleh mendatangkan kesan negatif dan boleh memberi kerosakan kepada organ jantung, buah pinggang, hati, ginjal dan alat kelamin sehingga tidak mampu untuk mendapatkan zuriat.

Dr Ramlan yang berkelulusan Sarjana Sains dan Perubatan Sukan, University of London mempunyai pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang perubatan dan sains sukan bermula sebagai pegawai perubatan di ISN.

Beliau juga menghasilkan tiga buah buku berkaitan sains sukan iaitu Buku Panduan Perubatan untuk Jurulatih-jurulatih di Malaysia pada tahun 1993, Buku Panduan Perubatan Sukan untuk Atlit dan Jurulatih (2001) dan menjadi penulis bersama untuk buka 'Case Histories in Joint and Muscle Injury' (2004).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos dan Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China.

Dalam kes pengggunaan dadah terlarang di negara ini, antara jenis dadah digunakan ialah Drostanolone Metabolite (meningkatkan prestasi), Metandienone Metabolite (membina otot), propranonol (penenang) dan Anabolic steroids (membina otot).

"Walaupun tujuan pengambilannya adalah untuk menguatkan otot, pengambilan dadah jenis ini boleh menyebabkan otot mudah koyak," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, hari ini.

Beliau berkata pengambilan dadah terlarang dalam sukan bukan hanya menjejaskan kesihatan atlet sebaliknya pada masa yang sama turut mendatangkan kesan negatif pada psikologi atlet yang mengambilnya.

"Psikologi atlet akan menjadi lebih agresif daripada kebiasaannya di mana personaliti atlet boleh menjadi panas baran, ingkar perintah dan tidak mampu melakukan pertimbangan secara normal sehingga boleh bergaduh dengan rakan mahupun dengan jurulatih," katanya.

Dr Ramlan berkata adalah tidak berbaloi apabila atlet sanggup menggadaikan kesihatan dan nyawa sendiri sebagai tukaran untuk mendapat pingat dengan jalan mudah sedangkan harga nyawa dan kesihatan adalah jauh lebih mahal daripada itu.

Beliau berkata pengambilan bahan terlarang dalam sukan bukan hanya mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan dan psikologi atlet tetapi turut membawa kerosakan yang besar kepada masyarakat sukan yang terdiri daripada atlet, jurulatih, badan sukan dan semua pihak yang terlibat di dalamnya.

Dr Ramlan berkata pengambilan dadah dalam sukan bukanlah satu perkara baru sebaliknya perkara itu mula timbul sejak zaman olimpik kuno lagi.

"Atlet pada zaman itu berusaha mencari kelebihan dalam jangka masa singkat untuk mengatasi saingan lawan dengan mengguna daun-daun, akar kayu, rempah ratus dan organ binatang yang dirasakan mampu memberi kelebihan luar biasa kepada mereka," katanya.

Beliau berkata semua ini berpunca daripada sikap tidak jujur yang ada pada diri manusia yang tamak mengejar kejayaan sehingga sanggup mengguna jalan pintas untuk mencapai impian masing-masing.

"Soal etika adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh kerana hanya atlet yang mempunyai kejujuran dan keikhlasan dalam pertandingan sahaja mampu beraksi dengan corak persembahan yang tulen tanpa dicemari dengan penggunaan bantuan dadah terlarang," katanya.

Dr Ramlan berkata walaupun mengikut statistik, kurang satu peratus atlet negara terlibat dalam pengambilan dadah terlarang, ia tidak bermakna isu itu bukan satu permasalahan besar bagi masyarakat sukan di negara ini.

"Menyedari perkara itu ISN bersama agensi sukan lain seperti Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Negara, persatuan sukan kebangsaan dan penguatkuasa undang-undang perlu bergabung tenaga bagi memeranginya.

Beliau berkata Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) memandang serius usaha menangani masalah dengan menubuhkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

Dr Ramlan berkata Adamas ditubuh pada tahun 2005 kini dalam proses penambahbaikan yang bukan hanya bertindak sebagai badan untuk mengendalikan pemeriksaan anti-doping ketika dan selepas kejohanan sebaliknya memberi pendidikan dan pencegahan.

Beliau berkata pada kaca mata dunia, Malaysia amat dihargai sebagai negara anggota Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) yang memainkan peranan utama memerangi penyalahgunaan dadah dalam sukan.

"Adalah agak malang jika atlet kita terlibat dengan pengambilan dadah terlarang sedangkan negara kita cukup dihormati dalam komuniti anti-doping antarabangsa," katanya. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan