X Close

'Protes Senyap' Dua Exco Kedah Sikit Pun Tak Jejaskan Azizan

Diterbitkan: Jumaat 24 Feb, 2012

NAMPAKNYA Datuk Seri Azizan Abdul Razak terpaksa menerima hakikat jika beliau terus kekal sebagai menteri besar Kedah, beliau akan kehilangan dua orang exco kanan iaitu ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh.

Kedua-duanya dikatakan memberitahu presiden parti bahawa mereka tidak mahu lagi dilantik semula sebagai exco negeri kerana enggan berkhidmat di bawah kepimpinan Azizan.

Namun begitu Azizan tidak sedikit pun memperlihatkan sebarang kegusaran situasi politik terbaru di Kedah sekarang akan mengugat kedudukannya sebagai menteri besar.

Apa yang menarik ialah, mulut kedua-dua exco berkenaan terkunci rapat enggan menyatakan apa yang sebenarnya akan berlaku apabila majlis mengangkat sumpah berlangsung Selasa depan.

Tetapi pada masa yang sama, bahasa badan mereka mengatakan sebaliknya.

Khabarnya, senarai akhir barisan exco telah pun dihantar ke Istana Anak Bukit untuk disahkan.

Kedah sepertimana Perlis mengamalkan tradisi melantik semula barisan exco setiap tahun dan bukannya mengikut penggal pilihan raya sepertimana kebanyakan negeri yang lain.

Sejak Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) tahun lalu, terdapat usaha untuk mengantikannya dengan pemimpin lain dan Phahrolrazi adalah salah seorang yang disebut-sebut.

Bagaimanapun usaha tersebut tidak menjadi realiti apabila Azizan tidak memberi sebarang isyarat untuk berundur.

Ini menyebabkan usaha mengantikannya tergendala malah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sendiri yang turun naik ke Kedah untuk mengatasi masalah ini gagal berbuat sesuatu sama ada untuk memujuk Azizan berundur dengan sukarela ataupun memujuk Phahrolrazi supaya bersabar sehingga tamatnya penggal ini.

Kesihatan Azizan yang tidak menentu dan kadang kala perlu dipapah untuk berjalan telah menjadikan situasi kepimpinan PAS di Kedah tidak menentu.

Dan isu yang melanda beliau berhubung soal tindakan disiplin yang dikenakan ke atas beberapa pelajar Kolej Universiti Islam Negeri (Kuin) dan juga kontroversi perobohan sebuah masjid untuk memberi laluan kepada projek komersil telah sekali lagi meletakkan beliau dalam keadaan tertekan dan tercabar.

Apa yang sedang melanda kepimpinannya sekarang dilihat sebagai kemuncak kepada usaha untuk mencabar malah memalukan kepimpinannya.

Ia dilakukan secara halus iaitu 'protes senyap' dengan enggan dilantik semula sebagai exco sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinannya. Mereka tidak memaklumkan kepada Azizan, mereka memaklumkannya kepada Hadi.

Walau apa sekali pun yang terjadi, majlis mengangkat sumpah telah pun ditetapkan pada Selasa depan di hadapan Pengerusi Majlis Diraja Kedah iaitu Datuk Seri Utama Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tidak sampai tiga hari lagi sebelum tarikh mengangkat sumpah jawatan baru diadakan, tidak ada seorang pun exco yang menerima warkah memaklumkan tentang pelantikan semula mereka.

Namun begitu, kelewatan tersebut bukanlah sesuatu yang aneh walaupun kelihatan seperti bermasalah.

Beberapa nama khabarnya telah pun dicadangkan untuk mengantikan Phahrolrazi dan Dr Ismail antaranya Adun Bandar Baharu Yaakob Husin; Johari Abdullah (Kupang); Ahmad Izzat Mohamad (Bukit Lada) dan Zuki Yusof (Kuala Ketil).

Kenapa ada empat nama yang dicadangkan untuk dilantik sebagai exco baru sedangkan yang hendak melakukan 'protes senyap; ini hanyalah dua orang sahaja?

Jawapannya ialah kerana, selain Phahrolrazi dan Dr Ismail, ada dua lagi exco yang khabarnya masih berbelah bahagi sama ada hendak menyertai dua rakan mereka itu dalam melakukan 'protes senyap' ke atas Azizan.

Mereka ialah Datuk Taulan Mat Razul dan Dr Hamdan Mohamed.

Yang orang kebanyakan seperti kita semua ingin tahu sekarang ialah, apakah jika tindakan 'protes senyap' ini mengambil tempat, kedudukan dan kepimpinan Azizan akan terjejas?

Berdasarkan tutur kata Azizan, jawapannya ialah tidak.

Ini kerana Haji Hadi sendiri tidak berani mengoncang bahtera yang sedang belayar mengharungi lautan yang bergelora.

Dalam erti kata yang lain, pilihan raya semakin hampir dan perubahan kepimpinan pada saat ini akan membawa segala bentuk ketidaktentuan kepada masa depan dan hala tuju parti di negeri itu.

Azizan mungkin tidak popular di kalangan kepimpinan PAS negeri buat masa ini tetapi beliau adalah seorang yang disayangi dan disukai oleh rakyat jelata sama macam Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan.

iklan

iklan

Iklan