X Close

Bakar Gereja: Hukuman Penjara Dua Bersaudara Dikurangan

Diterbitkan: Isnin 13 Feb, 2012

PUTRAJAYA: Panel Mahkamah Rayuan pada Isnin sebulat suara memutuskan mengurangkan hukuman dari lima kepada dua tahun penjara ke atas dua orang adik beradik yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dua tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing berkata walaupun mahkamah rayuan bersetuju terhadap jatuhan hukuman oleh mahkamah lebih rendah yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, hukuman lima tahun penjara bagi kedua-dua perayu itu adalah keterlaluan.

Beliau memerintahkan penghantar surat Raja Muhammad Faizal, 25, dan Raja Muhammad Idzham, 23, seorang pekerja bank, menjalani hukuman mereka berkuatkuasa hari ini.

Kedua-duanya dikenakan ikat jamin RM20,000 tiap seorang sementara menunggu kes rayuan mereka didengar.

Dua hakim lain dalam panel yang mendengar rayuan hari ini ialah Datuk Abdul Malek Ishak dan Datuk Ramly Ali.

Hakim Low berkata mahkamah sudah mengambil kira faktor rayuan dikemukakan pihak penguam bela mereka, Salim Bashir, bahawa semasa kesalahan dilakukan kedua-duanya masih agak muda dan merupakan pesalah kali pertama.

"Kedua-dua mahkamah bawahan sebelum ini (Sesyen dan Mahkamah Tinggi) telah dengan betul menimbangkan prinsip keterangan sokongan di mana kedua-duanya mempunyai niat bersama dalam melakukan perbuatan jenayah," kata Low.

Beliau berkata mahkamah juga mengambil kira tidak seorang pun cedera akibat perbuatan mereka itu, dan kerajaan membelanjakan RM500,000 dalam membaik pulih gereja berkenaan.

Hakim Low menegaskan bahawa mahkamah perlu mengimbangkan di antara kepentingan orang ramai, yang mana dalam kes jenayah memerlukan hukuman bagi mencegah, namun pada waktu sama kepentingan tertuduh juga tidak semestinya diketepikan. Pada 13 Ogos 2010, kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara lima tahun seorang setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melakukan perbuatan jahat dengan membakar gereja di Jalan 4/4c, Desa Melawati pada 11.50 malam 7 Januari 2010. Kedua-duanya didakwa di mahkamah bersama-sama beberapa yang lain yang masih bebas. Pada 30 Julai 2010, seorang kawan kepada dua bersaudara itu, Azuwan Shah Ahmad, 24, yang dituduh bersama mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri. Pada 27 Mei tahun lepas Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen. Timbalan Pendakwaraya Azlina Rasdi tampil bagi pihak pendakwaan. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan