X Close

Belia Boleh Daftar Rebet Telefon Pintar 3G Mulai Selasa Depan - SKMM

Diterbitkan: Jumaat 28 Dis, 2012

KUALA LUMPUR: Belia yang berusia antara 21 dan 30 tahun boleh mula memohon rebet RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G terpilih daripada pengedar berdaftar mulai Selasa depan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata permohonan di bawah Pakej Komunikasi Belia itu boleh dibuat menerusi pendaftaran dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.

Skim itu berasaskan siapa cepat dia dapat dan khas bagi 1.5 juta belia yang layak yang boleh mendapatkan telefon pintar itu selagi stok masih ada, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Sharil berkata belia yang layak menikmati rebet RM200 itu boleh membeli telefon pintar 3G terpilih berharga sehingga RM500 daripada pengedar terpilih dan ejen yang dilantik oleh penyedia perkhidmatan.

"Tujuannya ialah untuk memperluaskan insentif itu merangkumi belia daripada kalangan berpendapatan rendah yang masih belum menggunakan telefon pintar dan tidak mampu untuk menaik taraf telefon lama 2G mereka kepada telefon pintar 3G yang asas.

"Mereka yang mampu memiliki telefon berharga RM500 sebenarnya bukanlah kategori yang dihasratkan atau pasaran sasaran," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebet RM200 sekali sahaja bagi pembelian telefon pintar 3G kepada 1.5 juta belia yang layak menerusi Pakej Komunikasi Belia ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada September lepas dalam usaha memberi belia akses kepada gerbang maklumat.

Dengan rebet itu, mereka dijangka membayar tidak lebih daripada RM300 untuk memiliki sebuah telefon pintar 3G baharu, katanya sambil menolak dakwaan bahawa had harga RM500 adalah rendah memandangkan terdapat lebih 20 model telefon berjenama yang dilengkapi kemudahan 3G.

"Syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dan operator rangkaian maya mudah alih akan menawarkan tidak lebih daripada lima dan mungkin sehingga 10 atau 12 model di bawah inisiatif itu menerusi kedai pengedar mereka.

"Oleh itu, belia seharusnya mencari logo 'Pakej Komunikasi Belia' yang akan dipaparkan pada kain rentang dan bunting di kedai itu atau mereka juga boleh menyemak laman web penyedia perkhidmatan bagi mendapatkan senarai telefon pintar dan kedai pengedar yang mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh SKMM, lebih 90 peratus pengguna berada dalam segmen prabayar tetapi syarikat telekomunikasi hanya menyediakan insentif telefon bimbit bagi kontrak pascabayar.

Sementara itu, Mohamed Sharil berkata pemilik perniagaan kecil berumur antara 18 dan 65 tahun boleh mula memohon geran RM1,000 menerusi 'Get Malaysian Business Online' mulai Selasa depan (1 Januari), juga dengan mendaftar dalam talian di http://nbi.skmm.gov.my/.

Beliau berkata usahawan kecil yang mendaftar di laman web dan memenuhi semua terma serta syarat akan menerima geran RM1,000 daripada SKMM yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank tempatan pemohon yang berjaya. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan