X Close

Konflik Selatan Thai: Malaysia Tidak Beri Bantuan Tentera Tetapi Bangun Sosio-Ekonomi

Diterbitkan: Khamis 13 Dis, 2012 MYT 6:53:00 PM
Dikemaskinikan: Khamis 13 Dis, 2012 MYT 6:54:09 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak bercadang untuk memberi bantuan ketenteraan kepada Thailand bagi menyelesaikan konflik yang berlaku di selatan negara jiran itu tetapi sebaliknya memfokuskan pembangunan sosio-ekonomi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengutamakan operasi yang tidak melibatkan ketenteraan seperti program-program sosio-ekonomi.

"Ini kerana apa yang telah kita lakukan di Mindanao, ada kemungkinan suasana yang berbeza itu tidak dapat disesuaikan dengan apa yang berlaku di selatan Thai. Kita mengetuai pasukan pemantau antarabangsa di Mindanao tetapi (selatan) Thailand, kita tidak perlu pasukan itu.

"Dari pelaksanaannya di selatan Thailand, ia melibatkan banyak kementerian, jabatan dan agensi secara tidak langsung, bukan dengan hajat untuk campur tangan di dalam hal ehwal politik di Thailand tetapi lebih kepada membantu membangunkan kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Antara Malaysia dan Thailand Ke-51 di sini, Khamis.

Beliau mengulas mengenai sama ada pendekatan yang digunakan oleh Malaysia dalam membantu menyelesaikan masalah di Mindanao, Filipina dapat digunapakai dalam konflik di selatan Thailand, Ahmad Zahid berkata, situasi kedua-kedua kawasan di kedua-dua negara itu berbeza.

Pada 15 Oktober lalu, Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian damai yang sebelum ini membawa kepada pertempuran kuasa kerajaan dan membunuh beribu-ribu rakyat sejak empat dekad, dan Malaysia membantu menawarkan bantuan bagi menyelesaikan konflik itu dengan menganjurkan perbincangan bersama.

Ahmad Zahid berkata, bantuan membangunkan sosio-ekonomi itu termasuk menerima beberapa pelajar dari selatan Thailand untuk dibawa masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

"Ini juga termasuk melatih jururawat dari selatan Thailand di institut kejururawatan di Malaysia dan cadangan untuk memperkuatkan sistem pendidikan madrasah yang menggunakan pendidikan agama Islam 100 peratus," katanya.

Beliau menambah, Malaysia mencadangkan untuk mengekalkan sistem pendidikan Islam madrasah berkenaan tetapi menerapkan kokurikulum pendidikan di peringkat kebangsaan.

"Ertinya, ada kombinasi antara pendidikan agama dan pendidikan kebangsaan. Ia bagi menambah nilai kepada para pelajar yang akan keluar dari madrasah ini mempunyai nilai ekonomi apabila berada di pasaran pekerjaan.

"Dan ini dibantu oleh pihak berkuasa di selatan Thai dan kita juga telah bersetuju untuk menghantar guru-guru bahasa Inggeris di sekolah-sekolah madrasah ini. Program ini sudah berjalan tetapi pada 2013 akan ditambah lagi tertakluk kepada persetujuan Kerajaan Thailand untuk kita menambah tenaga pengajar," katanya.

Ditanya adakah terdapat permintaan untuk menggunakan bantuan ketenteraan dari Malaysia, Ahmad Zahid berkata; "Kita tidak pernah ada permintaan dan tidak berhajat untuk menggunakan kekuatan tentera kita bagi membantu Thailand di selatan Thai. Pendekatan yang digunakan kita untuk memperkuatkan aktiviti sosio-ekonomi di selatan Thailand."

Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Antara Malaysia dan Thailand Ke-51 pada Khamis turut disertai rakan sejawat Ahmad Zahid dari Thailand, Sukumpol Suwanatat.

Objektif mesyuarat itu antara lain menyediakan platform untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit dan mengambil langkah untuk mewujudkan keamanan terutama di wilayah di sempadan antara kedua-dua negara.

iklan

iklan

Iklan