X Close

Hospital Kluang Kini Dikenali Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom

Diterbitkan: Rabu 12 Dis, 2012

KLUANG: Penduduk daerah Kluang pada Rabu secara rasmi menerima hospital baharu dikenali sebagai Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, sempena nama bonda Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata hospital bernilai RM390 juta itu mula beroperasi 30 Disember tahun lepas, bagi menggantikan hospital lama berusia 80 tahun yang tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk.

"Hospital baharu ini dibina di atas tapak seluas 16 hektar dan terletak kira-kira lapan kilometer dari hospital lama dan merupakan satu projek reka dan bina dengan dilengkapi 268 katil serta 220 unit kuarters untuk kediaman pelbagai kategori anggotanya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian hospital itu di sini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Majlis perasmian hospital itu disempurnakan Enche' Besar Hajjah Khalsom Abdullah. Turut berangkat ke majlis tersebut Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Liow berkata hospital baharu itu mempunyai 798 anggota kesihatan terdiri daripada bahagian klinikal, sokongan klinikal dan sokongan bukan klinikal.

Hospital itu terdiri daripada dua blok bangunan utama yang menyediakan perkhimdatan sekunder dilengkapi dengan perkhidmatan teknikal, sokongan klinikal dan bukan klinikal.

Antara perkhidmatan yang ada di hospital baharu itu ialah unit rawatan pesakit luar yang meliputi klinik pakar, rehabilitasi dan hemodialisis; bahagian rawatan pesakit dalam termasuk unit ortopedik, unit pembedahan mulut dan pediatrik.

"Saya percaya yakin dan percaya dengan wujudnya hospital baharu ini status kesihatan penduduk Kluang akan terus meningkat, ditambah lagi dengan adanya kemudahan yang lebih canggih serta anggota kesihatan yang terlatih dan berdedikasi," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga amat gembira kerana mendapat pekenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk membuat pengisytiharan nama hospital itu kepada nama baharu iaitu Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan