X Close

Mat Yo Tiada Dalam Senarai The Red Warriors Musim 2013 - Annuar

Diterbitkan: Rabu 21 Nov, 2012

KOTA BHARU: Kemungkinan Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo tidak lagi beraksi bersama gergasi Pantai Timur semakin menjadi kenyataan apabila nama penyerang berbisa negara itu tidak disenarai bersama Kelantan untuk musim 2013.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, persatuan itu sebulat suara bersetuju untuk tidak menyenaraikan Mat Yo buat masa ini dalam senarai 30 pemain yang akan bersama The Red Warriors musim hadapan.

"Kami ambil kira hasrat Mat Yo dan beliau telah menghantar surat untuk menamatkan kontrak secara unilateral...maknanya dia sendiri yang menamatkan kontrak.

"Mengenai Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), ia bukan melibatkan kontrak tetapi berkaitan soal pemindahan pemain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perarakan Tiga Piala di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, malam Selasa.

Pada majlis itu, kira-kira 10,000 penyokong setia The Red Warriors berkumpul untuk sama-sama merayakan kejayaan Kelantan melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Liga Super dan Piala FA serta Piala Malaysia.

Terdahulu, ketiga-tiga piala itu dipersembah kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dalam satu majlis santapan malam sebelum diarak ke pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Annuar turut mengumumkan senarai 28 daripada 30 pemain yang akan beraksi bersama Kelantan musim hadapan dengan menampilkan lima muka baharu iaitu K Nanthakumar, Izuan Solahudin, Faiz Subri, Keita Mandjou dan Norhadi Ubaidillah.

Mengenai penebusan kontrak Norshahrul, Annuar berkata, pihaknya menyerahkan soal itu kepada sebuah firma guaman yang mahir berkaitan sukan untuk menghasilkan penyelesaian secara 'menang-menang'.

Beliau berkata, Kafa mungkin kehilangan tiga penaja utama berikutan polemik perpindahan Norshahrul ke Johor.

"Kami terpaksa terima hakikat...mereka melabur dan ada hak untuk batalkan penajaan," katanya. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan