X Close

Siti Nurhaliza, Rabbani Bergabung Sempena Maulidur Rasul

Diterbitkan: Jumaat 20 Jan, 2012

Siti Nurhaliza dan Rabbani akan berganding membuat persembahan bersempena sambutan Maulidurrasul 1433 Hijrah.

CYBERJAYA: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bakal berganding bahu dengan kumpulan nasyid terkenal, Rabbani untuk program bersempena sambutan Maulidurrasul 1433 Hijrah pada 5 Februari depan.

Siti berkata, sambutan yang akan diadakan dari 3-5 Februari depan di Kuala Terengganu itu akan terbahagi kepada karnival dan konsert bertemakan Muhammad Al Ameen bertempat di Taman Tamadun Islam dan sebuah persembahan eksklusif dirinya dan Rabbani di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa.

"Program tersebut akan berlangsung selama tiga hari dengan malam kemuncaknya persembahan khas saya dan kumpulan Rabbani.

"Kelainannya pada persembahan di Taman Tamadun Islam itu nanti, saya akan menghiburkan orang ramai yang datang bukan sahaja dengan lagu-lagu bersesuaian dengan tema tetapi juga akan melakukan penceritaan berbentuk gurindam dan syair pada konsert itu nanti," ujarnya.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Makan Malam Bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani di sini, Khamis.

Antara artis yang bakal turut serta dalam konsert yang bakal diadakan pada 4 Februari tersebut adalah Sabri Yunus, Najwa Latif dan Amy Search.

Tambahnya, program yang turut dirancang bersama-sama Rabbani Productions Sdn Bhd dan syarikatnya Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd(SNP) itu adalah kelangsungan kerjasama yang sebelum ini pernah memmbuat persembahan bersama di sambutan Maulidurrasul di Stadium Melawati Shah Alam tahun lalu.

"Sebelum ini saya dan Rabbani pernah bekerjasama dalam persembahan Maulidur Rasul di Stadium Melawati Shah Alam pada tahun lalu dan kali ini kami amat teruja kerana selain dapat bergabung dalam sebuah majlis yang sama, kami juga dapat bersama-sama mengagungkan Nabi Muhammad S.A.W. sempena hari keputeraan Baginda," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Rabbani Productions Sdn Bhd, Mohd Asri Ubaidullah berkata, bersempena dengan sambutan itu nanti, mereka akan turut menghasilkan sebuah lagu duet berjudul Muhammad Al Ameen.

Mohd Asri berkata, lagu tersebut sedang dalam proses rakaman dan akan diterbitkan sebagai sebuah 'single' untuk peminat mereka.

Bagi persembahan eksklusif Siti dan Rabbani ini, para peminat boleh mendapatkan tiket berharga RM175, RM275 dan RM500 dengan menghubungi Ri-Yaz Heritage Resort & Spa di talian 09-627 7888.

iklan

iklan

Iklan