X Close

Perlis Benteng Kekuatan BN, Perlu Dipertahan:Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu 14 Jan, 2012

KANGAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Perlis menjadi benteng kekuatan Barisan Nasional (BN) yang mesti dipertahankan dengan memperkukuhkan semangat juang di kalangan pemimpin parti. Katanya, semua pemimpin BN perlu menggandakan usaha untuk meyakinkan rakyat dan menyokong parti dengan memperhebatkan aktiviti turun padang.

Beliau berkata, setiap masalah yang timbul di kalangan pemimpin B Ndi peringkat negeri ini kini dianggap selesai dan tumpuan harus diberikan untuk melipat gandakan usaha mempertahankan pemerintahan BN di Perlis.

"Tiada lagi masalah di antara pemimpin...kita akan bersatu dalam pendirian kita dan kita akan gempur semua kawasan," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Dewan 2020 di sini Sabtu.

Beliau juga menyeru anggota-anggota BN memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun negara.

Muhyiddin berkata hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin BN, negara berada dalam situasi yang terus maju berkembang serta membangun dan masyarakat bersatu padu dengan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan.

"Di Eropah, negara-negara maju yang menjadi peneraju pembangunan dalam bidang teknologi dan sebagainya kini berada dalam kemerosotan ekonomi yang teruk, tapi rantau kita dianggap paling rancak membangun.

"Walaupun berada dalam situasi ekononomi yang lembap, Malaysia adalah antara negara ke depan dalam pembangunan ekonomi dengan kadar pelaburan yang besar dan peluang pekerjaaan yang besar," katanya.

Beliau berkata, semua peringkat haruslah memahami dasar dan inisiatif B Nuntuk melihat rakyat hidup terbela menerusi program transformasi kerajaan.

"Inisiatif ini serius, bila sebut transformasi ekonomi, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) nak menentukan dan menjamin bila masuk 2020 negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi...selama 40 tahun saya dalam politik, inilah usaha oleh seorang perdana menteri yang luar biasa," katanya.

Muhyiddin berkata rakyat tidak harus terpedaya dengan fitnah dan pembohongan pakatan pembangkang yang sering mengkritik usaha kerajaan sedangkan mereka sendiri tidak mampu berbuat apa-apa di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

"Negeri-negeri di bawah pembangkang tidak ada transformasi, tiada sesuatu dilakukan bila BN sebut transformasi, pelbagai projek raksasa dilancarkan untuk melihat rakyat hidup terbela", katanya.

Majlis jamuan tengah hari itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan pemimpin-pemimpin BN negeri. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan