X Close

Ramai Yang Mahukan Dwibahasa Dalam Matematik & Sains

Diterbitkan: Jumaat 13 Jan, 2012

Sdr Pengarang,

MENURUT Menteri Pelajaran, 89% daripada para pelajar memilih Bahasa Melayu dan dwibahasa sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan (Berita Harian 30 Disember 2011).

Beliau juga menyatakan yang keputusan melaksanakan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris) adalah tepat mengikut perangkaan ini.

Apa yang kita dapati ialah, laporan tersebut tidak memberi keterangan atau gambaran sepenuhnya.

Ingin kami jelaskan bahawa terdapat beberapa fakta yang tidak tepat dan telah diketepikan implikasinya dalam analisa perangkaan yang disiarkan itu.

Keputusan untuk dwibahasa tidak dilaporkan -majoritinya ialah yang mahukan dwibahasa, dan bukan Bahasa Melayu sahaja seperti laporan artikel yang menggabungkan peratusan bahasa Malaysia dan dwibahasa yang menunjukkan 89%.

Menurut Mstar (30 Disember 2011) peratus yang melaksanakan PPSMI dalam dwibahasa ialah 55% dan yang mahukan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya ialah 11%.

Iaitu sokongan untuk PPSMI dalam bahasa Inggeris dan dwibahasa ialah 66%. Ini bermakna, mereka yang mahukan sepenuhnya pembelajaran dalam bahasa Melayu dengan MBMMBI hanya 34%.

Perlaksanaan MBMMBI jelas menunjukkan yang ia tidak mendapat mandat majoriti tetapi ironiknya keputusan yang diumumkan digunakan untuk menjustifikasikan perlaksanaan MBMMBI.

Sebaliknya ia membuktikan yang PPSMI dituntuti.

Keputusan ini juga menonjolkan yang MBMMBI dilakukan secara paksaan untuk pelajar tahun 1 dan 2 mulai tahun ini kerana ia bukan keputusan majoriti.

Amat jelas sekali, perangkaan keputusan berat kepada perlaksanaan dalam dwibahasa dan bahasa Inggeris, dan bukan MBMMBI.

Pelajar tahun 1 dan 2 tahun ini wajar diberi peluang yang sama berasaskan keputusan kajiselidik ini.

Kami juga percaya, kajiselidik tersebut dilakukan tanpa maklum balas daripada para ibu bapa dan pelajar kerana ia dilakukan semasa cuti sekolah akhir tahun.

Ini bermakna, sampel subjeknya terhad kepada pemilihan pihak sekolah sahaja.

Itupun sudah menunjukkan yang sambutan PPSMI lebih ghairah dari MBMMBI.

Perangkaan ini secara tidak langsung, bagaikan seolah-olah “referendum” telah diputuskan dan majoriti menyambut baik pilihan dwibahasa.

Ini bermakna, MBMMBI perlu penambahbaikkan dengan pilihan PPSMI berdwibahasa atau sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Kami bukan berniat menunjukkan kelemahan MBMMBI. Kami akur yang program bahasa Inggeris di bawah MBMMBI lebih baik dari PPSMI, tetapi MBMMBI harus bergabung dengan PPSMI untuk mencetuskan keputusan yang terbaik.

Keputusan cemerlang terbukti dalam peperiksaan PMR 2011, yang ia adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun dan jumlah peningkatan pelajar yang meraih gred A meningkat dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Oleh itu, peluang PPSMI harus dilanjutkan kepada pelajar tahun 1 dan 2 tahun ini dan seterusnya yang dibendung dengan dasar MBMMBI sahaja.

Tidak adil mengharamkan peluang PPSMI kepada pelajar yang mahukan pilihan berbahasa Inggeris atau dwibahasa.

Kami mengesyorkan agar sebaik-sebaiknya semua Jabatan Pelajaran Negeri mencontohi Jabatan Pelajaran Negeri Selangor yang memberi peluang kepada para pelajar dan ibu bapa mereka memilih bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah.

Sekolah-sekolah harus digalakkan untuk mengagihkan borang tinjauan aliran bahasa pengantar murid untuk diisi oleh pelajar dan ibu bapa mereka.

Diharapkan yang ia dapat dikendalikan dengan adil dan saksama tanpa sebarang prejudis.

Eloklah juga jika keputusan kajiselidik ini diumumkan sebagai tanda yang kerajaan prihatin dengan kehendak ibu bapa dan para pelajar.

Syabas diucapkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor yang telah menjadi contoh yang baik dan patut diteladani.

Untuk mengatasi segala keluhan dan rungutan mengenai kes transisi PPSMI yang agak panas sejak pembukaan tahun persekolahan ini, PAGE memohon kepada Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri & Daerah dan Guru Besar sekolah agar memberi ruang, kelonggaran dan mempermudahkan urusan transisi PPSMI.

Untuk yang mahu dipindahkan kelas atau ke sekolah lain, kami mendoakan agar mereka berjaya dengan permohonan mereka.

Diharapkan yang transisi ini berjalan dengan lancar, teratur dan mengikut hasrat ibu bapa dan para pelajar yang mahukan pilihan mereka diselenggarakan.

TUNKU MUNAWIRAH PUTRA

Setiausaha Kehormat PAGE Malaysia

PAGE adalah pelobi pendidikan yang menjadi saluran di antara ibu bapa yang prihatin, KPM dan golongan pendidikan yang berkepentingan. Melalui PAGE, ibu bapa mempunyai pentas untuk menyuarakan pandangan dan maklum balas mereka berkenaan isu pendidikan secara berkelompok. Kami yakin Malaysia boleh menjadi tapak kemahiran dunia pertama.

iklan

iklan

Iklan