X Close

MRSM & Universiti Cambridge Jalin Kerjasama

Diterbitkan: Jumaat 26 Ogos, 2011

KUCHING: Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kini berpeluang melanjutkan pendidikan ke universiti-universiti tersohor di dunia berikutan jalinan kerjasama dengan Universiti Cambridge bagi meningkatkan kualiti pendidikan MRSM di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal berkata, dalam lawatan rasmi ke London dua minggu lalu, satu persetujuan telah dicapai dengan Universiti Cambridge untuk bekerjasama dengan MRSM mencari kaedah terbaik supaya lepasan MRSM dapat memasuki universiti-universiti tersohor di dunia.

"Mereka (Universiti Cambridge) akan dapat membantu meningkatkan kualiti lepasan MRSM dengan melihat sendiri sistem pembelajaran MRSM sekarang," katanya semasa berucap di majlis Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama rakyat di Institut Kemahiran Mara (IKM) di sini malam Khamis.

Beliau berkata, dengan terjalinnya kerjasama tersebut bakal lepasan MRSM akan mempunyai kelulusan setaraf dengan piawaian pendidikan antarabangsa dan mempunyai peluang cerah memasuki unversiti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Mara akan membelanjakan RM159 juta untuk program pembangunan pendidikan di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang bermula pada tahun ini.

Beliau berkata, program pembangunan pendidikan tersebut melibatkan penubuhan tujuh buah pusat GiatMara antaranya di Kuching, Kanowit, Limbang, Hulu Rajang, Igan dan Lanang serta program pembesaran dan naik taraf 12 buah Pusat GiatMara di sini.

"Projek yang bersambung dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) seperti membeli peralatan IKM Bintulu dan MRSM akan diteruskan," katanya.

Menurut Shafie, pada tahun ini Mara telah berjaya membantu 933 usahawan bumiputera di negeri ini untuk meningkatkan pengetahuan dalam industri pembinaan melalui kursus 'Industrial Building System (IBS) Installer'.

"Kita turut meluluskan sebanyak 183 permohonan bagi Skim Pembiayaan Kontrak Ekpress (Spike) dan Pembiayaan Peningkatan Perniagaan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM14,715,000," katanya lagi.

Pada majlis yang sama Shafie turut memberi sumbangan kepada 100 warga tua dari Satok, Samariang, Pantai Damai dan Tupong.

iklan

iklan

Iklan