X Close

Badan Amal, Kebajikan Platform Baik Bina Negara Aman, Sejahtera - Raja Nazrin

Diterbitkan: Isnin 22 Ogos, 2011

IPOH: Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang baik untuk menyatukan hasrat dan usaha rakyat dalam membina Malaysia yang aman, damai dan sejahtera, titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah, organisasi itu juga bertindak sebagai platform yang menunjukkan bagaimana rakyat pelbagai agama, kumpulan etnik, strata sosial dan status ekonomi dapat menggabungkan sumber, tenaga, fikiran dan usaha secara produktif serta konstruktif untuk melakukan kerja-kerja murni.

"Badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang dapat memperlihatkan semangat pengorbanan tinggi di samping menyemaikan semangat lebih ingin memberi dari menerima di kalangan warga Malaysia," titah Raja Nazri pada majlis penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Dewan Azlan Shah, Majlis Bandaraya Ipoh di sini Ahad.

Titah baginda kesejahteraan tidak mungkin berlaku jika ada kalangan yang kaya memilih untuk meletakkan diri mereka sebagai pulau-pulau kecil yang berasingan, muncul di tengah-tengah lautan kemiskinan yang masih meluas.

Oleh itu semangat melakukan amal, kebajikan, bersedekah dan menderma hendaklah sentiasa tersemai di kalangan mereka yang telah dikurniakan nikmat yang lebih dan sehinggalah golongan fakir miskin merasakan nasib mereka mendapat pembelaan dan perhatian daripada yang kaya, titah baginda.

Pada majlis itu, sebanyak 65 pertubuhan kebajikan menerima kurniaan dalam bentuk bantuan kewangan.

"Adalah menjadi harapan Baginda (Sultan Azlan Shah) agar kurniaan ini dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada saudara-saudari untuk terus melaksanakan usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata," titah Raja Nazrin.

Antara badan kebajikan yang menerima adalah Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan (PPOC) Malaysia Cawangan Perak, Pertubuhan Orang Kurang Upaya Penglihatan Perak (POKUPP), Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Dan Miskin Chemor Perak, Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Kesatuan Pelajar Islam Perak dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Perak.

Pertubuhan New Horizons Untuk Perkhidmatan Bagi Kanak-Kanak Cacat Perak, Ray Of Hope, Association Of The Network For The Needs Of Children With Disabilities Perak, Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia Negeri Perak, Pertubuhan Pengurusan Rumah Warga Tua “Anning” dan Kelab Orang Berida Perak. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan