X Close

Bimbang Ancaman Lanun Antara Faktor Bekalan Ikan Kurang Di Pasaran - LKIM

Diterbitkan: Isnin 22 Ogos, 2011

KOTA BAHARU: Bimbang dengan ancaman lanun terutama di pantai barat Semenanjung adalah antara faktor bekalan ikan kini agak berkurangan di pasaran.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Mohad Khazin Hamzah bagaimanapun memberi jaminan bekalan ikan segar mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

Bercakap kepada pemberita di sini malam Ahad, beliau mengakui harga ikan di pasaran kini naik sedikit berikutan masalah itu, dan LKIM sukar membendungnya kerana ikan bukan barang kawalan kecuali ikan kembung yang tidak boleh dijual melebihi RM10 sekilo.

Katanya faktor lain yang menyumbang kepada kekurangan bekalan ialah ikan bergred A kini banyak dieksport ke Singapura kerana permintaan tinggi terhadap ikan bersaiz besar dan harganya yang mahal.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu, Mohad Khazin berkata pihaknya membawa masuk 40 peratus bekalan ikan dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Mengenai ancaman lanun, beliau berkata kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang dipertingkatkan dan yakin masalah itu akan dapat diatasi.

Berkenaan masalah kekurangan ikan di pantai timur, Mohad Khazin berkata ia tidak begitu ketara berikutan kemasukan ikan dari Thailand.

Selain itu katanya, ikan tidak mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan terutama Aidilfitri, kerana pengguna lebih tertumpu kepada ayam dan daging. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan