X Close

Skewer Kebab, Popia Juga Ada Ramai Peminat

Diterbitkan: Rabu 10 Ogos, 2011

LOKASI: Seksyen 13, Shah Alam (berhampiran stadium)

JUMLAH TAPAK: 361

GERAI MENARIK: Jus Mangga Oshin, Rojak Buah Pak Yob, Ayam Panggang/Golek Jaring

Skewer kebab.

Popularnya skewer kebab!

DI bazar Sekyen 13 Shah Alam, skewer kebab yang dijual Amirul Shahid Amirudin, 29, menjadi juadah berbuka kegemaran ramai termasuklah pelanggan dari luar ibu kota seperti Seremban dan Nilai.

“Daging lembu atau ayam akan dicucuk pada lidi bersama terung, tomato ceri dan lada benggala sebelum dipanggang,” kata Amirul Shahid yang telah 11 tahun berniaga di bazar ini.

Selain bentuknya yang unik (menyerupai sate) dan mudah dimakan, skewer kebab juga enak kerana diperap bersama ramuan khas semalaman sebelum dibakar keesokan harinya.

Hasilnya, rempah tersebut akan sebati dengan daging di samping menerbitkan aroma mengasyikkan ketika dipanggang.

Sebagai memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat setiap tahun, Amirul Shahid akan menambah bilangan kebab setiap kali menjelang Ramadan.

Bermula tahun lalu, dia turut menyewa tapak di bazar Ramadan Presint 2, Putrajaya dan menjual makanan yang sama termasuklah kambing panggang madu.

Secucuk skewer kebab berharga RM5.50.

Popiah SS Ali

Popia SS Ali ramai peminat

Beratur panjang pada bulan puasa untuk membeli popia bukanlah masalah besar bagi peminat popia SS Ali.

Melihat kesabaran para pelanggan yang ramai beratur menunggu giliran membeli, tidak hairanlah pemiliknya, Siraj Din Mohd Sultan, 44, menyewa dua tapak di bazar yang sama.

Keenakan popia ini terletak pada sos dan kulit popia yang dibuat sendiri menggunakan resipi arwah bapa pemilik.

“Seperti popia biasa, kita gunakan sengkuang, bawang goreng, taugeh dan udang goreng untuk inti,” katanya yang mempunyai 13 tahun pengalaman berniaga di bazar ini.

Disebabkan mempunyai pelanggan tetap yang ramai, Siraj Din mengekalkan harga popianya iaitu 70 sen sekeping.

“Saya tak ikut harga pasaran walau harga barang naik. Semua ini istimewa untuk pelanggan saya yang pelbagai kaum dan peringkat umur,” katanya.

iklan

iklan

Iklan