X Close

Sarawak Cadang Sertai Acara Silambam Sukma 2012 Di Pahang

Diterbitkan: Rabu 6 Jul, 2011

KUCHING: Sarawak merancang untuk menyertai acara Silambam pada Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Pahang untuk menambah pungutan pingat emas dan merampas kembali kegemilangan sukan yang pernah dikecapi negeri itu sebelum ini.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin berkata pada masa ini usaha sedang dilakukan untuk mencari jurulatih Silambam dari India bagi melatih mereka yang serius untuk menyertai acara itu pada Sukma 2012 di Pahang dan Kuala Lumpur pada 2013.

"Memandangkan kita tidak mempunyai persatuan Silambam di sini, kita harus mencari jurulatih dahulu sebelum mengenal pasti atlet yang berpotensi," katanya selepas menyerahkan insentif Sukma berjumlah RM20,064 kepada atlet Sarawak yang meraih pingat pada Sukma XIV di Kuala Lumpur Jun lalu, di sini, Selasa.

Silambam adalah sejenis seni mempertahankan diri yang menggunakan senjata, berasal dari Tamil Nadu di selatan India dan ia menggunakan buluh sebagai senjata utama.

Pada Sukma XIV di Kuala Lumpur yang berlangsung pada 2 hingga 12 Jun lalu, kontinjen Sarawak hanya menduduki tangga ke-12 dengan mengumpul sebanyak 14 pingat secara keseluruhan iaitu dua emas, empat perak dan lapan gangsa.

Pemenang pingat emas menerima RM2,000 manakala pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing menerima RM750 dan RM500.-BERNAMA

iklan

iklan

Iklan