X Close

JPW Mahu Perkasa Ibu Tunggal

Diterbitkan: Isnin 9 Mei, 2011

Che Azizah Che Rashid

MEMANG mudah mempersalahkan kerajaan apabila menyentuh soal kebajikan.

Masyarakat malah beranggapan bahawa kemampuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) cukup terbatas dalam menyalurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik seperti orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal miskin tegar.

Sedangkan, tumpuan harus diberikan terhadap meningkatkan keupayaan dan taraf hidup golongan tersebut, bukan lagi sekadar bantuan kewangan semata-mata yang hanya mewujudkan budaya ‘menunggu bantuan’ terutama di kalangan golongan memerlukan di luar bandar.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Che Azizah Che Rashid menjelaskan, pada masa ini tiada dasar atau polisi khusus untuk ibu tunggal.

Bagaimanapun, golongan itu sejak dahulu berpeluang menikmati pelbagai manfaat daripada dasar-dasar kerajaan berkaitan wanita, usahawan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi negara kebajikan. Sebaliknya, JPW ingin melihat ibu tunggal memperkasakan keupayaan masing-masing demi masa depan keluarga. Mereka lupa bahawa mereka juga merupakan penyumbang utama kepada sumber ekonomi negara.

“Untuk makluman, peruntukan bantuan khas perbendaharaan turut berkurangan tahun ini kepada RM8 juta berbanding RM13 juta pada tahun lalu. Kerajaan tidak berniat mengurangkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, sebaliknya memberikan sokongan yang lebih besar dan bermakna untuk membela nasib mereka,” katanya kepada Mingguan mStar di Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertubuhan bukan kerajaan

Saban tahun, sekurang-kurangnya lima hingga 10 NGO melaksanakan belasan program pembangunan bagi kumpulan sasar ibu tunggal. Malangnya, Laporan Bantuan Khas Perbendaharaan menunjukkan bilangan peserta tahun lalu 660 orang, menyusut berbanding 1,153 orang pada tahun sebelumnya.

Justeru mulai 2010, JPW mengukuhkan lagi hubungan strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ibu tunggal dalam usaha memperhebatkan lagi sambutan terhadap program-program meningkatkan kemahiran dan penjagaan pendapatan lebih tinggi kepada golongan itu.

“Kami menggalakkan lebih ramai ibu tunggal muda, khasnya lebih aktif melibatkan diri dalam persatuan ibu tunggal di bawah Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia (MPITM) untuk memudahkan mereka memohon bantuan, pinjaman, bimbingan kaunseling dan geran untuk memulakan perniagaan.

“Sehingga kini, hanya 28,000 ibu tunggal mendaftar dengan 17 persatuan di bawah naungan MPITM dan jumlah itu masih terlalu rendah berbanding angka terkini ibu tunggal di seluruh negara,” ujarnya.

Kata Che Azizah, jentera JPW banyak bergantung kepada NGO dalam menyalurkan sokongan kepada lebih 120,000 ibu tunggal di negara ini melalui program-program yang telah disediakan di bawah peruntukan pihaknya di samping Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penganjuran program

Pada tahun lalu, JPW dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menyediakan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Memperkasakan Ibu Tunggal manakala Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Memperkasakan Wanita pula bertujuan merapatkan jurang kemiskinan antara gender di kalangan ketua isi rumah.

KPWKM juga belum berputus asa menggesa penubuhan pangkalan data ibu tunggal di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) supaya senarai ibu tunggal yang terkini dapat dikenal pasti ke arah sistem sokongan lebih efisien di masa depan.

Che Azizah memberitahu, pelbagai program boleh dimanfaatkan golongan ibu tunggal bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka antaranya Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), 1AZAM dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-Keunita) serta Jejari Bestari bagi mendekati kelompok di pinggir bandar.

Selain itu terdapat kursus literasi undang-undang dalam usaha memberi kesedaran dan kefahaman kepada ibu tunggal, khasnya mengenai hak dan penguatkuasaannya di mahkamah, peraturan menubuhkan perniagaan, pengurusan kewangan, sindiket jenayah seperti memperdagangkan orang, perlindungan dan bantuan kepada mangsa jenayah.

“Sebagai ketua keluarga, ibu tunggal harus sedar akan hak mereka dari sudut (undang-undang) syariah atau sivil terutama bab tuntutan nafkah, penjagaan anak dan isu berkaitan perlaksanaan undang-undang.

“Kurangnya kefahaman tentang membina perniagaan atau menguruskan kewangan juga boleh menjadi faktor golongan itu kurang mengambil risiko berniaga walaupun dengan kemudahan dan bimbingan disediakan oleh kerajaan,” ujarnya.

Pada masa sama, JPW turut bekerjasama dengan Amanah Raya Berhad dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk mempertingkatkan kesedaran dan pemahaman ibu tunggal terhadap pengurusan harta selain Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi mempermudahkan urusan pinjaman perniagaan selain bimbingan dan pemantauan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.jpw.gov.my atau kunjungi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara.

iklan

iklan

Iklan