X Close

Kolonel Ng Chin Huat Dinaikkan Pangkat Brigadier Jeneral

Diterbitkan: Ahad 1 Mei, 2011

WASHINGTON: Kolonel Ng Chin Huat, Penasihat Pertahanan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, dinaikkan pangkat kepada Brigadier Jeneral.

Upacara ringkas tetapi bersejarah itu diadakan pada Khamis diadakan di Kedutaan Malaysia di sini, disaksikan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin.

Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaludin Jarjis, diberikan penghormatan, bersama-sama dengan isteri Ng, Puan Cheah Oi Leng, untuk memakaikan pangkat kepada Ng pada upacara itu.

Turut hadir ialah Datin Seri Umi Kalsom Wan Awang, isteri Zulkifeli yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Washington DC dan isteri Jamaludin, Datin Seri Dr Kalsom Ismail.

Ng mengucapkan terima kasih khususnya kepada Angkatan Tentera dan juga kerajaan Malaysia " atas keyakinan kepada saya dan menaikkan pangkat saya".

Ng berasal dari Teluk Intan Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St Anthony di sana.

Beliau menyertai Angkatan Tentera pada 1974 sebagai kadet dan mendapat latihan awal sebagai kadet di Sebatang Karah di Port Dickson dan kemudiannya di Maktab Tentera Diraja. Selepas itu beliau menjalani latihan kadet di Officer Cadet School, Portsea, Australia dan lulus pada 10 Dis, 1976 untuk menyertai Kor Kelengkapan Tentera sebagai Leftenan Muda.

Beliau memegang beberapa jawatan berkaitan dengan fungsi kelengkapan dan logistik sebelum dilantik sebagai Penasihat Pertahanan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 11 Jun, 2007.

Beliau menyelaraskan perkara-perkara berkaitan misi pengaman dengan ibu pejabat PBB.

"Saya membantu meningkatkan jumlah anggota polis dan tentera Malaysia dalam misi pengaman PBB," kata Ng. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan