X Close

RM15 Juta Diperuntuk Bina Rumah Mesra Rakyat Di Sungai Tiram

Diterbitkan: Sabtu 9 Apr, 2011 MYT 8:16:00 PM

SANTUBONG: Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar negeri Sarawak menyediakan peruntukan 15 juta bagi membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Sungai Tiram bagi mengurangkan masalah kepadatan penduduk di tiga kampung di sini, Sabtu.

Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, penempatan baru itu melibatkan penduduk dari Kampung Pasir Pandak, Pasir Panjang dan Salak bertujuan memberi tempat tinggal dan kemudahan lebih selesa kepada mereka.

"Jumlah penduduk semakin meningkat dan saya dapati ramai keluarga besar di sini tinggal bersama dalam sebuah rumah kecil," katanya selepas melakukan majlis pecah tanah di Sungai Tiram, Sabtu.

Jelas beliau projek dengan kerjasama Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Pihak kementerian telah meminta Jabatan Tanah dan Survei untuk memantau kawasan tapak di Sungai Tiram. Sebanyak 502 unit Rumah Mesra Rakyat akan dibina bagi menampung 320 keluarga di sini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan memperuntukan RM50 juta untuk membina rumah RMR di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Abang Johari yang juga calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok memberitahu kos sebenar rumah itu bernilai RM79,000 tetapi mereka yang kurang berkemampuan boleh memiliki rumah tersebut dengan harga RM40,000.

"Kami memutuskan untuk memberi diskaun sebanyak RM39,000 bagi mengurangkan beban rakyat. Mereka tidak perlu bimbang kerana hanya perlu membuat bayaran serendah RM150 sebulan," jelasnya.

Sement ara itu, beliau turut menyangkal dakwaan bahawa projek itu dilakukan untuk memancing undi pada pilihan raya ke-10 yang akan diadakan 16 April ini.

"Pihak kementerian dan beberapa agensi terlibat telah merancang pembinaan rumah ini sejak 2004 dan kami berjaya membawa arus pemodenan di kawasan ini. Ia membuktikan kerajaan BN tidak memberi janji kosong kepada rakyat," ujarnya.

Abang Johari berkata, sebaik saja kawasan perumahan itu siap sepenuhnya, lebih banyak kemudahan infrastruktur akan disediakan kerajaan pusat.

"Kami turut merancang untuk menghubungkan Sungai Tiram dengan jalan utama di Bandar Baru Samariang dan Telaga Air. Ia bertujuan untuk memajukan kawasan perumahan baru di sini dan menjadikan Sungai Tiram sebagai tumpuan pelancong pada masa hadapan," tambahnya.

iklan

iklan

Iklan