X Close

Natasha pelumba wanita kebanggaan negara

Diterbitkan: Isnin 4 Apr, 2011

Natasha Seatter bertuah kerana dipilih menguji jentera Lotus Formula T125. - Foto THE STAR Oleh ART CHEN

JIKA dilihat sekali imbas, tiada siapa yang menduga bahawa gadis tinggi lampai ini mempunyai kebolehan istimewa sebagai pelumba dan paling membanggakan Natasha Nur Ida Adam Seatter merupakan satu-satunya pelumba wanita pertama yang terpilih memandu jentera Lotus Formula T125.

Sebelum itu, rekod cemerlang sepanjang menceburi perlumbaan karting sejak berumur 12 tahun lagi telah menjadikannya sebagai pelumba wanita pertama menggalas cabaran pasukan Petronas Mofaz Racing pada perlumbaan siri Formula BMW bagi musim 2010.

Menurut Natasha,18, kejayaan tahun lalu sebagai pelumba rookie dalam kategori senior telah membangkitkan semangat baru untuk dia lebih berusaha dan mencapai impiannya untuk menjadi pelumba pertama Formula Satu (F1) satu hari nanti.

“Saya agak teruja kerana berpeluang memandu jentera yang lebih kurang sama dengan F1 dan ia pengalaman penting bagi saya. Walaupun sebelum ini saya lebih kepada perlumbaan kart, tetapi ia bukan satu masalah kepada saya untuk mencuba pelbagai jenis jentera,” katanya kepada Mingguan Mstar baru-baru ini.

Katanya, kehadiran 2011 ini turut memberi makna besar kepada dirinya selepas dipilih oleh bekas juara F1, Nigel Mansell, Jean Alessi dan James Rossiter bagi menjalani ujian pemanduan di Litar Yas Marina, Abu Dhabi Februari lalu dengan jentera T125.

Selain itu juga, dia turut mencuba jentera baru, Evora Cup dalam perlumbaan GT 4.

“Ia sangat berbeza dan sangat laju. Saya gembira kerana dapat tunjuk ajar daripada bekas pelumba-pelumba terkemuka dunia,” jelas anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini.

Sebelum itu, Natasha berkata, untuk berjaya ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan disiplin serta keinginan yang tinggi. Berbekalkan kombinasi itu serta dorongan keluarganya, dia berjaya mencipta rekod tersendiri.

Gadis kelahiran Sarawak yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini merupakan bekas peserta program pembangunan bakat muda Petronas iaitu dari sekolah perlumbaan Petronas Formula Xperience (PFX).

“Saya berjaya mengalahkan pelumba lelaki yang sebaya dengan saya dan menjuarai empat kali berturut-turut pada perlumbaan PFX 2009.

“Sebelum beralih arah ke perlumbaan Formula BMW (kini dikenali JK Racing Asia Series), saya telah berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan pada Kejuaraan Karting Asia (2008),” katanya yang turut meminati bidang muzik.

Natasha berkata, selain teruja dengan penampilan menjadi pemandu sokongan pada perlumbaan F1 Malaysia minggu depan, dia juga tidak mahu hilang fokus untuk meletakkan dirinya berada dalam kelompok terbaik pada perlumbaa JK Racing Asia Series musim ini.

“Saya menyasarkan untuk berada dalam kelompok kelima keseluruhan musim ini dan akan cuba untuk tempat terbaik pada perlumbaan Super Taikyu Endurance Series di Jepun,” katanya yang turut menceburi bidang modeling.

Sementara itu Natasha berkata, kejayaan hari ini tidak akan datang tanpa sokongan penuh keluarga, lebih-lebih penglibatan dalam sukan ini memerlukan perbelanjaan yang besar.

Ibunya, Datin Ida Suzaini Abdullah yang pernah terbabit dalam sukan bermotor di negara ini merupakan tulang belakang dalam kerjayanya ini.

“Dia adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan semangatnya itu telah meletakkan dirinya seperti sekarang. Saya gembira kerana dia sendiri tahu apa yang diingini dan usaha kerasnya itu amat berbaloi.

“Ini kerana, untuk menjadi seorang pelumba, disiplin adalah kunci utama dan dia tahu apa yang perlu dilakukan sebelum berlumba,” katanya.

Ida berkata, kejayaan terpilih untuk menguji jentera Lotus tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan malah beliau berharap untuk melihat anak gadisnya melangkah lebih jauh suatu hari nanti.

“Dia mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya, namun apa yang saya harapkan ada pihak yang sudi tampil menjadi penajanya kerana tanpa tajaan dia tidak akan ke mana-mana,” katanya.

iklan

iklan

Iklan