X Close

Majlis Profesor Negara Keluarkan Analisis Kebaikan Dan Keburukan Tenaga Nuklear

Diterbitkan: Khamis 31 Mac, 2011

PUTRAJAYA: Majlis Profesor Negara (MPN) akan mengeluarkan laporan analisis mengenai teknologi nuklear berikutan kebimbangan orang ramai terhadap tindakan kerajaan untuk membangunkan teknologi itu di negara ini setelah tragedi kebocoran reaktor nuklear Fukushima di Jepun.

Pengerusi MPN Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid berkata analisis itu, yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan lagi, akan menyenaraikan kebaikan dan keburukan teknologi tersebut, serta cadangan-cadangan berkaitan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenainya.

"Kita tak mahu masyarakat kita terbawa-bawa dengan pandangan yang mungkin kurang berasas. Itu bahaya. Itulah tugas MPN iaitu untuk memberikan fakta yang saintifik dan objektif tentang mana-mana isu termasuk teknologi nuklear," katanya pada sidang berita sempena ulang tahun pertamanya esok di sini, Khamis.

Beliau berkata analisis itu untuk tatapan masyarakat dan kerajaan, dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan, tapi ia mesti berdasarkan ilmu dan fakta yang objektif.

"(Sama ada teknologi ini wajar dibangunkan atau tidak) kita tunggu laporan itu nanti. Teknologi nuklear di Malaysia bukan perkara baru kerana pada tahun 1972 telah ditubuhkan Institut Tenaga Nuklear Malaysia (Mint) dan kalau ia dijadikan ukuran maka negara ini ada pengalaman dalam sains nuklear hampir 40 tahun.

"Di Bangi (Selangor) juga ada reaktor nuklear penyelidikan dan selama tertubuhnya reaktor itu tak ada masalah keselamatan. Jadi kalau tanya saya kita mesti beri pengiktirafan tentang teknologi tinggi ini dan keupayaan rakyat Malaysia menanganinya tetapi dengan malapetaka yang dilihat di Jepun kita juga harus waspada," katanya.

Dalam perkembangan lain Zakri berkata pelbagai peranan dan sumbangan telah diberikan oleh MPN sepanjang setahun penubuhannya, termasuk dalam isu novel kontroversi Interlok, di mana seorang anggota MPN telah dilantik sebagai pengerusi kepada badan bebas untuk memperhalusi perkara itu.

Beliau berkata MPN juga sedang dalam perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah untuk menjadikan Sandakan sebagai hub pendidikan dan dengan kerajaan negeri Melaka untuk bekerjasama dalam program-program di peringkat negeri.

Zakri berkata buat pertama kalinya Kongres Majlis Profesor Negara akan diadakan pada 6 dan 7 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan menemukan profesor dari semua universiti awam bagi membincangkan dan memperhalusi agenda transformasi negara.

Beliau berkata antara objektif kongres itu adalah untuk mengukuhkan jaringan kerjasama dan persefahaman di kalangan profesor merentasi disiplin ilmu dan institusi, membahaskan agenda transformasi negara dari sudut pandangan ilmu sejagat dan mengemukakan resolusi kongres mengenai agenda transformasi negara kepada kerajaan.

Kira-kira 1,000 orang profesor dari seluruh negara dijangka menghadiri kongres di mana dua ahli ekonomi terkenal dunia merangkap pemenang Hadiah Nobel Paul Krugman dan Joseph Stiglitz turut dijemput untuk menghadirinya, katanya. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan