X Close

Kerajaan Belanja RM40 Juta Bina tembok Penahan Di Sungai Rajang

Diterbitkan: Ahad 13 Mac, 2011

KANOWIT: Tembok penahan bernilai kira-kira RM40 juta akan dibina di beberapa tempat di Sungai Rajang untuk menghalang masalah hakisan tebing yang serius di situ daripada menjadi semakin buruk.

Lokasi yang dikenal pasti ialah Luking, Nanga Dap, Nanga Semaram dan Nanga Ngemah dekat sini, kata Anggota Parlimen Kanowit Datuk Aaron Dagang.

Beliau berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan melaksanakan projek berkenaan.

"Ia sebahagian daripada peruntukan RM83.17 juta yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi Kanowit minggu lepas semasa mesyuarat pra majlis sebelum Dewan Rakyat bersidang," katanya ketika melancarkan pusat khidmat Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngemah di sini, Ahad.

Aaron berkata RM40 juta lagi akan digunakan untuk melaksanakan projek bekalan air bandar dan baki RM3.17 juta pula bagi bekalan elektrik, yang akan dilaksanakan mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Penduduk Kanowit boleh mengharapkan untuk menikmati kemudahan asas yang lebih baik tidak lama lagi. Ini satu lagi bukti komitmen Najib terhadap penduduk luar bandar dan benar-benar mencerminkan konsep 1Malaysia," katanya.

Mengenai politik, beliau berkata pembangkang boleh berkata apa saja mengenai jumlah kerusi yang kononnya bakal mereka menangi pada pilihan raya negeri akan datang.

"Biarlah mereka bercakap kerana semua ini hanyalah dakwaan semata-mata. Mereka sama sekali tidak akan menjadi kerajaan," kataya.-BERNAMA

iklan

iklan

Iklan