X Close

Sultan Johor Terima Darjah Kerabat Negero Sembilan

Diterbitkan: Isnin 28 Feb, 2011

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Negeri Sembilan (DKNS) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Turut berangkat pada istiadat itu yang berlangsung di Istana Besar, Seri Menanti di sini ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Siti Aishah Almarhum Tengku Besar Mahmud dan putera kedua baginda Tunku Zain Al-Abidin.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad turut hadir pada istiadat itu.

Pengurniaan DKNS kepada Sultan Johor itu adalah bersempena dengan Hari Keputeraan Tuanku Muhriz ke-63 pada 14 Januari lepas.

Sementara itu, pada istiadat yang sama Sultan Ibrahim turut berkenaan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (DK) kepada Tuanku Muhriz.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim diiringi oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Abdul Latiff Yusof, Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad.

Tuanku Muhriz dan Sultan Ibrahim serta pembesar kedua-dua negeri kemudiannya diraikan pada istiadat santapan tengah hari di istana itu. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan