X Close

Polis Tahan 10 Suspek Kes Gaduh Disyaki Anggota Kumpulan Samseng

Diterbitkan: Selasa 15 Feb, 2011

KLANG: Polis menahan 10 suspek kes gaduh membabitkan dua kumpulan yang disyaki samseng dari Kapar dekat sini dan Melaka; yang bergaduh di hadapan sebuah rumah kedai di Taman Emas, Kapar di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tujuh suspek diberkas semalam manakala tiga lagi ditahan tengah hari tadi di Kapar, dan semua yang ditahan berumur antara 20 dan 40-an.

Katanya seorang daripada suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan merupakan bekas tahanan Simpang Renggam, dan polis turut menemui dua butir peluru daripada seorang suspek.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di sini hari ini beliau berkata polis sedang berusaha mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai S.Sankar, 32, dari Serdang Jaya, Seri Kembangan dekat sini yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi semalam, kira-kira 20 lelaki terlibat dalam satu pergaduhan menggunakan parang panjang serta pedang, dan kejadian itu mengakibatkan dua kereta dibakar, dan lima orang mengalami kecederaan serius dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini. Tun Hisan berkata pergaduhan itu membabitkan sebuah kumpulan dari Alor Gajah, Melaka yang menaiki Proton Waja, Wira dan Perdana; dengan sebuah kumpulan dari Kapar dekat sini, yang menaiki motosikal.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua kumpulan itu terbabit dalam aktiviti samseng, dan sedang menyiasat motif kejadian.

Beliau seterusnya meminta supaya orang ramai yang pernah diugut atau diancam mana-mana kumpulan di kawasan berhampiran supaya tidak perlu takut untuk tampil membuat laporan, dan menurutnya laporan orang ramai akan dapat membantu polis memantau trend serta aktiviti kumpulan terbabit bagi memudahkan tindakan diambil.

Tun Hisan berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 148 iaitu merusuh dengan senjata. -BERNAMA

iklan

iklan

Iklan