X Close

IJN Guna Kaedah Baru Rawat Masalah Kebocoran Injap

Diterbitkan: Rabu 21 Dis, 2011

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan kaedah rawatan baru menggunakan 'Mitral Clip' bagi pesakit jantung yang mengalami kebocoran injap mitral.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dr Rabaayah Zambahari berkata kaedah itu menggunakan sejenis klip khas setebal 2mm yang dimasukkan ke dalam jantung melalui salur darah di celah kelangkang.

Sejenis alat khas untuk memegang 'mitral clip' itu akan dikendalikan oleh sekurang-kurangnya tiga doktor pakar yang menggunakan sistem kawalan dari luar, katanya pada taklimat media mengenai kaedah baru itu di IJN di sini pada Rabu.

"Teknik itu membolehkan bahagian pencangkuk mitral clip itu menyangkut pada kelopak injap mitral yang bocor.

"Sebaik saja kedudukannya dipastikan, klip itu dilepaskan dari kabel dan ia akan mengecilkan saiz bukaan injap mitral, dengan itu membetulkan kebocoran," katanya.

Dr Rabaayah berkata injap yang bocor akan menyebabkan darah mengalir masuk balik ke dalam atrium kiri jantung dari ventrikal dari arah bertentangan.

"Komplikasi dari masalah kebocoran injap jantung ialah jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam kembali darah dan sekiranya berlarutan, ia boleh menyebabkan masalah lemah jantung," katanya.

Beliau berkata, seramai tujuh pesakit yang mengalami masalah kebocoran injap jantung telah menjalani rawatan melalui kaedah baru itu dan proses penyembuhan berlaku lebih cepat dalam masa dua hingga empat hari berbanding tujuh hari melalui pembedahan.

"Kaedah ini memberi pilihan kepada pesakit yang tidak mahu menjalani pembedahan di dada dan kaedah baru ini selamat," katanya. Dr Rabaayah berkata rawatan melalui kaedah baru itu memerlukan kos sekurang-kurangnya RM150,000. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan