X Close

Senyuman Ikhlas Petua Awet Muda Cristina

Diterbitkan: Isnin 19 Dis, 2011

Cristina.

NAMA Cristina Suzanne Stockstill seindah pemiliknya. Dan memiliki raut wajah persis gadis Eropah pasti mengundang tanda tanya siapakah gerangan wanita asing ini?

Anak kacukan Melayu-Jerman ini merupakan pendatang baru dalam industri seni tempatan. Bagi yang masih ingat drama Cermin Pada Bulan tujuh tahun lalu, Cristina turut terlibat dengan drama arahan Erma Fatima itu dan ia merupakan kerjaya lakonannya yang pertama.

Sukar membahagi masa dengan kerja tetapnya sebagai pramugari, Cristina terpaksa meninggalkan kerjaya seni untuk memberi perhatian sebagai krew kabin.

Bagaimanapun dek kerana minat menjadi pelakon itu sangat menebal, dia membuat keputusan untuk meletakkan titik noktah perkhidmatannya pada April 2010.

Beberapa bulan selepas itu, pelakon kelahiran Johor Bahru ini menyertai program realiti Pilih Kasih 2 atas permintaan ibunya. Tapi sayang dia hanya dapat bertahan sehingga minggu ke lapan sahaja.

Pun begitu, bakat pelakon bersia 26 tahun ini mula meniti di bibir peminat selepas membintangi drama Dia Bukan Maryam dan Kasih Najihah, arahan Erma Fatima lebih-lebih lagi memegang peranan utama dalam telefilem Sentuhan Isabella.

Maka bermulalah kerjaya baru Cristina menerima tawaran berterusan dan terbaru, dia digandingkn dengan Sharnaaz Ahmad menerusi drama adaptasi novel, Bicara Hati, arahan Osman Ali, yang akan disiarkan di saluran Astro Prima tahun depan.

Tidak sukar mendekati pelakon ini, sifat peramah dan ceria Cristina membuatkan dia mudah didampingi, malah dia juga tidak membatasi pergaulannya dengan orang yang tertentu.

Tidak putus-putus memberikan senyuman setiap kali orang menyapanya, Cristina berseloroh tentang karakternya dengan berkata; “Memberi senyuman yang ikhlas buat wajah kita tampak awet muda tau.”

Ujarnya senyuman atau ketawa merupakan tips kecantikan yang paling mudah dipraktikkan tetapi andai kata ia tidak ikhlas, wajah akan meninggalkan kesan kedutan dengan lebih mudah dan teruk.

“Ramai yang tidak sedar senyuman atau ketawa yang dibuat-buat akan mengedutkan lagi wajah kerana urat dalam muka dipaksa melakukan sesuatu yang tidak diingini.

“Justeru itu, hati kita perlulah bersih daripada segala prasangka buruk dan berfikiran positif, barulah keikhlasan itu timbul dengan sendiri,” ujarnya.

Menggali lagi ilmu kecantikan yang dipraktikkan pelakon ini, dia lebih senang jika penjagaan diri dilakukan secara sederhana.

Cukup saja dengan amalan meminum air suam atau mineral yang banyak serta mengambil makanan tambahan, Cristina memastikan tubuh badannya tidak lemah atau mudah jatuh sakit.

“Sebenarnya dua perkara ini baru saja diamalkan sejak bergelar pelakon. Maklumlah, dengan masa kerja yang tidak menentu, tubuh kita akan mudah terkena penyakit dan seboleh-bolehnya saya akan cuba mendapatkan tidur yang cukup.

“Paling penting air mineral botol besar akan dibawa ke mana-mana sahaja terutamanya ke lokasi penggambaran. Selain itu, amalan meminum segelas air suam setiap pagi sebelum menggosok gigi amat bagus kerana dapat membantu kelancaran organ sekali gus mampu mengelak diri daripada demam panas,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Dek kerana mempunyai selera makan yang tinggi apabila melihat makanan di depan mata, justeru dia mengamalkan senaman setiap hari.

“Sudahlah selera makan saya kuat, tambah pula saya tak suka sayur-sayuran. Jadi selain pengambilan makanan tambahan, senaman ringan amat diperlukan. Tidak perlu terlalu ekstrem, cukup jika kita dapat mengeluarkan peluh seperti menaiki tangga, berjalan kaki atau skipping,” jelasnya.

Dalam pada itu, penjagaan rambut juga diambil berat oleh pelakon ini.

Memandangkan rambutnya agak nipis, dia perlu menggunakan pengering rambut setiap hari agar ia tidak kelihatan leper.

“Berambut pendek adalah gaya yang paling sesuai untuk saya. Bukannya apa, ia mudah diuruskan. Pastikan rambut anda diletakkan serum supaya tidak kering,” katanya.

iklan

iklan

Iklan