X Close

Pergaduhan Kampung Medan: Permohonan Tujuh Perayu Ditolak

Diterbitkan: Rabu 23 Nov, 2011

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan tujuh orang yang cedera dalam pergaduhan di Kampung Medan 10 tahun lepas agar mahkamah itu mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman mereka berhubung dakwaan kelalaian dan pelanggaran tugas oleh polis dan kerajaan.

Panel tiga hakim terdiri Hakim-hakim Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Linton Albert sebulat suara menolak rayuan R. Suresh, A. Anbalakan Aynan, A. Velappan, B. Janakan, P. Tamil Selbam, V. Subramaniam dan V. Muniandy.

Mahkamah itu juga memerintahkan mereka membayar RM10,000 sebagai kos perundangan.

Low berkata, rayuan mereka tidak mempunyai sebarang merit dan panel itu bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 12 Mei 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman yang difail tujuh perayu itu selepas mendapati mereka gagal membuktikan bahawa polis tidak memenuhi tanggungjawabnya mengikut Akta Polis 1967.

Ketujuh-tujuh perayu, yang merupakan penduduk di kawasan berlakunya pergaduhan itu, memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Polis Petaling Jaya, Senior Asisten Komisioner Sheikh Mustafa Sheikh Ahmad, bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Nik Ismail Nik Yusof, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Dalam penyata tuntutan mereka, ketujuh-tujuh perayu berkata, keempat-empat defendan itu gagal mengambil tindakan segera untuk mengawal keadaan kecoh, rusuhan dan keganasan di kawasan berkenaan dan oleh itu gagal menjamin keselamatan mereka.

Akibatnya, kata perayu, mereka diserang sekumpulan 20 hingga 30 orang yang melakukan rusuhan di kawasan itu menggunakan senjata termasuk parang, pisau, kayu hoki, kayu dan batang besi hingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan perubatan.

Ketujuh-tujuh mereka mendakwa kononnya defendan juga gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan yang bertindak ganas terhadap mereka itu, yang mengakibatkan wujud risiko berlaku kecederaan serius.

Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, serta ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Kejadian berasingan itu berlaku antara 8 dan 22 Mac 2001 di Petaling Jaya Selatan dan Batu 12 Puchong.

Dalam penyata bela diri mereka, defendan berkata mereka sentiasa menjalankan tugas rasmi masing-masing mengikut undang-undang untuk menjamin keselamatan dan memberi perlindungan kepada semua rakyat Malaysia, termasuk perayu, tanpa memihak kepada sesiapa.

Defendan juga menafikan yang mereka lalai dan tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing. Malah, defendan berkata mereka mengambil langkah yang sewajarnya untuk memelihara keamanan, keselamatan dan memberi perlindungan kepada orang di kawasan terbabit dengan menempatkan para pegawai polis di sana dan melakukan rondaan di sepanjang jalan utama di kawasan itu.

Ketujuh-tujuh perayu diwakili peguam M. Manogaran manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Badariah Md Yusoff mewakili polis dan Kerajaan Malaysia. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan