X Close

Mahathir Gesa Myanmar Main Peranan Lebih Aktif Dalam Asean

Diterbitkan: Rabu 2 Nov, 2011

YANGON (MYANMAR): Myanmar harus memainkan peranan lebih aktif dalam Asean bagi membolehkan ia menangani masalah yang timbul daripada globalisasi, kata bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed.

Beliau berkata negara anggota Asean boleh mencapai banyak lagi dengan menyuarakan tentang kepentingannya menerusi satu suara.

"Dengan bersatu-padu, kita boleh berkembang di rantau ini," katanya semasa menyampaikan ceramah perniagaan tentang pengalaman Malaysia dalam globalisasi dan liberalisasi di sini, Rabu. Ceramah itu dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) secara kerjasama dengan Kesatuan Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri Republik Myanmar (UMFCCI).

Beliau berkata globalisasi mencetuskan idea, antara lainnya, memudahkan akses modal dan teknologi ke negara lain, tetapi persoalannya adalah sama ada ia akan memberi faedah kepada negara-negara yang menerima.

"(Sebagai contoh) ia baik sekiranya aliran masuk modal mewujudkan pendapatan bagi negara (yang menerima) tetapi ia menjadi sebaliknya jika ia hanya mengalir ke pasaran saham kerana harga saham akan meningkat tetapi nilai tidak ada kaitan dengan prestasi syarikat," kata beliau. Walaupun globalisasi bermakna pasaran lebih besar bagi produk negara kita, ia juga mempunyai kesan negatif, katanya, sambil menambah namun tidak bermakna globalisasi yang dianjurkan oleh negara Barat perlu ditolak, tetapi ia harus dinilai semula. Terdahulu, beliau menyaksikan permeterian empat memorandum persefahaman (MoU) pada majlis yang sama.

MoU pertama dimeterai oleh pengerusi Myanmar Corobiz Travel and Tours Co Ltd Aung Soe Har dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) Felda Travel and Tours S.Andrew Francis bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam perniagaan pelancongan Myanmar.

MoU kedua ditandatangani oleh CEO Delima Oil Products Sdn Bhd CEO Zakaria Arshad dengan pengarah urusan Golden Land East Asia Development Ltd Nyein Aung bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pengedaran minyak masak dibungkus di bawah jenama "Saji" di negara tersebut.

Zakaria juga memeterai MoU sebagai mewakili syarikatnya dengan pengerusi Grand Wynn Enterprise Hla Wynn untuk bekerjasama dalam pengedaran barangan pengguna laris di Myanmar.

MoU terakhir ditandatangani oleh CEO Felda Vegetables Oil Products Sdn Bhd Wan Mohamad Zain Wan Ismail dengan pengarah urusan Htoo group of companies Kyaw Thi Ha bagi kerjasama dalam pemprosesan minyak sawit dan getah serta pelancongan di Myanmar.

Dr Mahathir juga melawat pameran yang dianjurkan oleh Felda, MPOC dan UMFCCI.

Beliau ditemani oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad, CEO MPOC Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron dan presiden UMFCCI U Win Aung. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan