X Close

Penahanan 13 Militan Di Sabah Hasil Risikan Pihak Berkuasa - KPN

Diterbitkan: Jumaat 18 Nov, 2011

KUALA LUMPUR: Penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Saya bertindak atas maklumat risikan bukan dalam negara sahaja, (malah) dari serata dunia. Ini (isu keselamatan) berhubung kait dengan rantau lain.

"Ini bukan isu main-main. Saya terpaksa bertindak ikut kekuatan undang-undang yang masih relevan di negara kita dan saya telah memberi penjelasan kepada Menteri Dalam Negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Polis Diraja Malaysia untuk perwakilan asing di Maktab PDRM Cheras di sini, pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling, yang menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

"Kita buat (tindakan ini) demi keselamatan negara. Kita tidak boleh tunggu sehingga sesuatu itu berlaku. Nasihat saya kepada sesiapa juga, jangan putar belitkan," katanya lagi. Ismail semalam mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lepas mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Menurut akhbar itu, kumpulan militan berkenaan menggunakan Tawau sebagai lokasi transit untuk pengumpulan senjata yang diperoleh dari selatan Filipina.- BERNAMA

iklan

iklan

Iklan