X Close

Kos Makanan Lembu Tenusu Tinggi Perlu Diatasi:JPV

Diterbitkan: Ahad 30 Okt, 2011

SUNGAI PETANI: Masalah kos ternakan yang tinggi terutama harga makanan lembu tenusu perlu diatasi segera bagi memastikan harga pasaran susu segar tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Dr Siti Salmiyah Tahir berkata penternak lembu tenusu sering meminta kerajaan menaikkan harga susu dengan alasan kos makanan haiwan itu mahal.

Namun, katanya, sekiranya permintaan itu diteruskan dengan kadar harga susu segar dari ladang dinaikkan, ia akan memberi kesan kepada harga produk tenusu yang diproses pihak industri.

"Jika dibandingkan dengan negara lain, harga susu segar dari ladang di negara kita adalah yang tertinggi (sekitar US$0.58 atau RM1.77 seliter).

"Peladang boleh mengurangkan kos makanan ternakan jika tahu cara penyediaan makanan yang betul dan bukan sekadar memberi makan mengikut cerita yang didengar yang akhirnya menjadikan kos tinggi," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke sebuah ladang lembu tenusu di Merbok, di sini Ahad.

Dr Siti Salmiyah berkata, bagi memudahkan penternak menyediakan makanan lembu tenusu mereka, JPV telah memperkenalkan satu sistem perkiraan makanan sejak setahun lepas untuk haiwan mereka.

"Dengan sistem ini peladang hanya perlu memasukkan data tertentu dan pengiraan kandungan makanan dibuat secara automatik. Ia membolehkan peladang tahu apa jenis makanan yang patut diberi sekaligus menambah pengeluaran susu.

"Selain itu jabatan ini juga menggalakkan peladang mengadakan sistem rekod dikenali sebagai ICRAS membolehkan mereka mengenalpati masalah yang dihadapi setiap lembu peliharaan mereka," katanya.

Dr Siti Salmiyah berkata kebanyakan penternak lembu tenusu di negara ini tidak mempunyai rekod khusus tentang setiap ternakan dan ia menyukarkan pihak jabatannya menolong menyelesaikan masalah kesihatan haiwan mereka.

Beliau berkata menerusi sistem ICRAS itu setiap lembu tenusu akan mempunyai rekod berkaitan jumlah pengeluaran susu, kadar pembiakan dan jenis rawatan kesihatan.

Dr Siti Salmiyah berkata bagi meningkatkan pengeluaran susu jabatannya menggalakkan penternak meningkatkan tahap kecekapan pengurusan ladang dan berusaha membiak sendiri lembu tenusu sekaligus mengurangkan import haiwan.

"JPV bercadang memberi latihan kepada penternak khusus tentang cara penjagaan anak lembu membolehkannya membesar dengan baik. Jika membesar dengan sihat, pengeluaran susu dapat dipertingkatkan," katanya.

Beliau memberitahu tahun ini sehingga September, pengeluaran susu daripada penternak yang berdaftar dengan JPV telah mencecah lebih 19 juta liter dan daripada jumlah itu 6.75 liter adalah dari penternak di Sabah yang merupakan pengeluar tertinggi di negara ini.

"Kita telah mencapai tahap kualiti susu yang baik iaitu 47.88 peratus susu segar kita adalah gred AA, 38.01 peratus gred A manakala 14.11 peratus gred A-.

"Dulu jumlah kiraan bakteria dalam susu segar kita adalah sejuta tetapi telah turun kepada 200,000 dan berharap akan menurun kepada 100,000," katanya.

Mengikut rekod, hasil eksport susu negara pada 2009 ialah sebanyak RM3.6 bilion, RM3.3 bilion (2010), manakala tahun ini sehingga September RM2.9 bilion. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan