X Close

Jabatan Perhutanan Perak Siapkan Laporan Isu Teroka Hutan

Diterbitkan: Khamis 27 Okt, 2011

IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan menghantar kertas laporan berhubung isu penerokaan haram Hutan Simpan Kekal Chikus di Teluk Intan yang didakwa berlaku sejak 20 tahun lepas, kata Pengarahnya, Datuk Nik Mohd Shah Nik Mustafa.

Beliau berkata laporan penuh itu akan dihantar kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Menteri Besar Perak dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.

"Kita mempunyai keseluruhan rekod peneroka-peneroka haram di kawasan itu dan kita akan serahkan laporan ini kepada kerajaan negeri untuk membuat dasar dan ketetapan bagi menyelesaikan masalah itu," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini Khamis.

Katanya tiga laporan itu akan dihantar hari ini manakala satu lagi laporan akan dihantar kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan dalam masa terdekat.

Nik Mohd Shah berkata Hutan Simpan Kekal Chikus yang mempunyai keluasan 2,500 hektar itu adalah satu-satunya hutan simpan pamah yang terdapat di Perak dan ia dijadikan kawasan ladang hutan.

"Saiz yang terlalu besar itu menyukarkan kita untuk mengawal selia atau membuat pagar dan kita akui terdapat penerokaan haram berlaku di pinggir hutan itu tetapi kita mempunyai rekod peneroka (haram) sejak 20 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata walaupun masalah penerokaan ini telahpun dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hutan Negeri baru-baru ini tetapi pihaknya akan menghantar satu lagi laporan bagi memudahkan siasatan terhadap dakwaan itu.

Mengenai dakwaan Orang Asli seperti dilaporkan akhbar-akhbar hari ini, bahawa kakitangan jabatan itu membawa senjata api semasa pemeriksaan di hutan berkenaan dua minggu lepas, beliau berkata pasukan penguatkuasaan jabatan itu memang dibekalkan dengan senjata api bagi tujuan keselamatan dan bukan untuk membuat ugutan atau menakut-nakutkan peneroka haram.

"Saya menasihatkan orang ramai agar tidak mencuba meneroka hutan-hutan simpan kerana tindakan tegas akan diambil bagi mengekang perkara itu," katanya.

Beliau berkata mereka yang didapati bersalah berbuat demikian boleh didakwa mengikut Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1988 yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Nik Mohd Shah berkata penduduk Orang Asli Kampung Palawan berhampiran hutan berkenaan boleh mencari rezeki di hutan itu tetapi perbuatan menebang dan menaman pokok tidak dibenarkan.

Semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Manik Datuk Zainol Padzi Paharuddin mendedahkan kegiatan penerokaan kawasan hutan itu dengan tanaman sawit dan tanaman kontan sepeti betik, limau kasturi, limau nipis dan jambu batu. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan