X Close

Uuuummmmmmmmooookaaaayyyyyyyyyyy!

Diterbitkan: Rabu 5 Jan, 2011

ARTIKEL ini bukan ulasan album kerana saya memang tak pandai mahu mengulas album, filem mahupun perkara-perkara lain. Ini adalah artikel yang ditulis oleh seorang Lonely Soldier Boy yang menghargai bakat sebuah kumpulan rock ‘ roll bernama Hujan.

Ketika saya menulis artikel ini, telinga saya disumbat dengan earphone, dan lagu-lagu daripada album ketiga kugiran alternatif rock berpengaruh ini sedang berkumandang. Album yang berjudul ‘Lonely Soldier Boy’ tersebut mengandungi 14 buah lagu yang mempunyai aura membara.

Membara seperti api yang marak menyala-nyala setiap kali dibakar. Begitulah metaforanya untuk album terbaru mereka ini. Itulah yang dapat dirasakan setiap kali apabila saya memutarkan album ini, segala-galanya yang berhubung rapat dengan fizikal dan mental akan marak membara. Bersemarak hangat.

Saya mempunyai kesemua demo, E.P dan album-album Hujan. Jadi, adillah untuk saya katakan, dalam album ketiga ini mereka telah menuju ke satu lagi tahap yang memberangsangkan, lebih tinggi. Mungkin album ini tak seperti terbitan-terbitan mereka yang lepas, kerana album ini saya kira lebih bersih daripada segi produksinya, tetapi dalam masa yang sama tak menghilangkan karektor Hujan.

Itulah kelebihan mereka, menghasilkan sebuah produk yang berkualiti tanpa menghilangkan karektor rock n’ roll itu sendiri. Kita masih dapat rasakan attitude serta karektor mereka yang tak pernah hilang dalam album ini.

Album ini juga membuktikan yang Hujan adalah antara kugiran tempatan yang prolifik dalam mengeluarkan album. Baru saja rasanya kita dihidangkan dengan album ‘Mencari Konklusi’ dan sedar tak sedar, muncul pula album ketiga.

Saya tak terkejut, jika tahun depan mereka menerbitkan sebuah lagi album kerana saya yakin mereka mampu dan sebahagian daripada diri saya juga yakin serta syak yang mereka ini sebenarnya mempunyai kuasa seperti Power Rangers. Manakan tidak, kuasa apakah yang mereka pakai hingga prolifik begini?

Album ‘Lonely Soldier Boy’ juga menunjukkan yang Hujan berjaya dan mampu memberikan kelainan dalam setiap album yang mereka keluarkan.

‘Lonely Soldier Boy’ dimulakan dengan lagu ‘Inspektor Remos’ yang meluru menderu-deru laju terus masuk dan melekat di dalam otak, disambung pula dengan ‘Kita Tak Peduli’, lagu yang ditulis oleh Noh untuk kumpulan penyokong mereka yang dipanggil, ‘Raingers’. Lagu tersebut saya percaya akan menjadi tema bagi Raingers untuk tahun-tahun mendatang.

Sepanjang saya mengikuti Hujan, selain bijak membikin lagu-lagu yang akan membuatkan adrenalin manusia tak senang duduk, mereka jugak cerdik apabila mencipta lagu-lagu jiwang. Ini dibuktikan dalam album ketiga ini dengan lagu-lagu seperti ‘Bahgia’, ‘Bagaikan Matahari’, ‘Kotak Hati’, ‘Aku Yang Asing’ dan ‘Di Kala Bulan Bermain Biola’.

Lagu-lagu ini membuatkan saya mempunyai perasaan ingin mendail nombor telefon mana-mana makwe dalam buku telefon saya dan berkata, “Jom kita pergi makan pizza, nak?” dan seterusnya disambung dengan kelakuan-kelakuan bodoh yang lain. Ya, cinta dan lagu-lagu cinta boleh buatkan saya berkelakuan ganjil atau err... bodoh. Dalam kes ini, saya akan salahkan Hujan jika status Twitter saya dipenuhi ayat-ayat jiwang berat berkarat.

‘Lonely Soldier Boy’ adalah lagu keenam dalam album ini. Bagi yang mengikuti Hujan semenjak daripada awal lagi, pasti akan tahu tentang lagu ini yang biasa dimainkan di awal kemunculan mereka dulu.

Lagu ini sekaligus mengimbas semula zaman di mana Hujan ketika itu masih sedang bersusah-payah berjuang untuk menaikkan muzik mereka. Pastinya, Raingers di era tersebut mempunyai memori yang tersendiri apabila mendengar ‘Lonely Soldier Boy’ yang diberikan nafas baru.

‘Muda’ adalah sebuah lagu catchy, sebuah lagi lagu lama yang telah diberikan nafas baru. Lagu ini telah dijadikan lagu tema oleh BSN (Bank Simpanan Nasional) dan sebuah video klip rasmi telah dilancarkan bersempena melantik Hujan menjadi duta BSN.

Lagu-lagu lain seperti ‘Kasihan’, ‘Walaupun Jauh’, ‘Jangan Kejutkan Dia’, ‘Hampir’ dan ‘Sentiasa Ada’ masing-masing mempunyai kekuatannya yang mampu melarutkan kita dalam dunia yang diciptakan Hujan.

Contohnya dalam lagu, ‘Hampir’, tatkala lirik ini dinyanyikan; “Hilang hampir ditelan asmara, hilang percayaku pada semua.” Lirik ini dinyanyikan dengan nada yang paling melankolia saya kira, maka, saya yang memang hopeless romantic ini, terkulai layu di situ. Tak guna betul budak-budak Hujan ini, saja nak bikin saya parah.

Cakera padat album ketiga Hujan ini masih lagi berputar buat entah kali keberapa ketika saya menulis artikel ini. Tak jemu-jemu rasanya. Saya tak tipu, serius, mak saya marah kalau tipu.

Mulai esok, setiap kali apabila saya berjumpa budak-budak Hujan ini, saya akan cuba culik mereka, kemudian saya akan paksa mereka bagi ilmu, tips atau skill bagaimana mahu bikin lagu-lagu yang ada magis. Jaga-jaga Hujan.

Apapun, sumpah, saya bahagia mendengar album ini.

“Bahgia... oh bahgia... oh bahgia...”

MOHD JAYZUAN adalah penulis buku ‘28 Hari: Jurnal Rock n’ Roll’ (boleh didapati di Kinokuniya, MPH, Popular dan Silverfish) dan ‘Nota-Nota Gila’. Juga seorang singer-songwriter dan teraju utama kugiran indie rock; Free Love. Ikuti beliau di Twitter; www.twitter.com/mohdjayzuan.

iklan

iklan

Iklan