X Close

Keunikan sambutan Tahun Baru Cina cara Malaysia

Diterbitkan: Isnin 31 Jan, 2011

- Foto THE STAR Oleh SIA HONG KIAU, Lokasi Suria KLCC

JIKA perayaan Tahun Baru Cina tidak dapat dipisahkan dengan limau Mandarin dan angpau, sama jugalah hubungan erat yang terjalin antara lima selebriti yang digandingkan untuk sesi fotografi di Suria KLCC bersama Mingguan mStar baru-baru ini.

Apabila Cindy Chen, Baki Zainal, Zenny Salihuddin, Ben dan Azizi Zakaria ditemukan, suasana pusat beli-belah yang sentiasa meriah itu lebih meriah jadinya dengan gelagat dan aksi masing-masing.

Signifikan menggandingkan mereka bukan sahaja kerana mereka bersahabat tetapi setiap mereka juga mempunyai pengaruh yang kuat terhadap budaya dan persekitaran masyarakat Cina.

Bukan Cindy dan Ben sahaja yang teruja menyambut Tahun Baru Cina, tetapi Baki, Zenny dan Azizi turut tidak sabar menyambut perayaan ini.

Walau ketiga-tiganya beragama Islam, mereka mengakui tidak pernah ketinggalan untuk sama-sama menyambut perayaan terbesar kaum Cina ini setiap tahun.

Kemesraan yang wujud jelas sekali bukan lakonan di depan lensa atau dibuat-buat, tetapi terbit daripada persahabatan yang terjalin sekian lama.

Nyata, perbezaan agama, bangsa, budaya dan bahasa bukanlah penghalang untuk kita memupuk hubungan erat dan mewujudkan perpaduan.

Cindy ‘makan besar’ dengan rakan 1Malaysia

Cindy

GANDINGAN lima sahabat ini untuk sesi fotografi muka depan Mingguan mStar kali ini agak unik kerana setiap mereka mempunyai kisah dan pengalaman sendiri menyambut Tahun Baru Cina.

Cindy, pemenang tempat kedua Miss World Malaysia 2008/2009 dan satu-satunya selebriti keturunan Cina untuk sesi fotografi kali ini berkata kesibukan bukanlah penghalang bagi dirinya menyambut Tahun Baru Cina di kampung halamannya yang terletak di Batu Pahat, Johor.

“Tak mungkin saya akan lepaskan ‘makan besar’ yang menjadi tradisi masyarakat Cina. Begitu juga budaya melawat rakan dan sanak-saudara,” katanya.

Pelakon sitkom Hello Mr Pao yang disiarkan di saluran NTV7 ini berkata hari ini pengertian Tahun Baru Cina di Malaysia telah berubah apabila ia turut diraikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

“Saya akan panggil kawan-kawan Melayu dan India saya datang ke rumah pada Tahun Baru Cina. Kalau tidak berkesempatan, kami berjumpa dan menyambutnya di luar beramai-ramai.

“Bagi saya, kemeriahan Tahun Baru Cina tidak hanya dirasai pada hari Tahun Baru Cina, tetapi dirasakan lebih awal dengan adanya temuramah dan sesi fotografi bersama rakan-rakan berlainan bangsa. Contohnya seperti hari ini,” katanya.

Tidak akan melepaskan peluang menikmati makanan kegemarannya iaitu Cantonese Spring Roll setiap kali menyambut Tahun baru Cina, Cindy berkata pertemuan dengan rakan-rakan akan mengeratkan hubungan sesama mereka dan secara tidak langsung membuatkan mereka mempelajari dan menghargai budaya dan agama lain.

Seperti mana sambutan Aidilfitri yang akan terasa lebih hangat dengan dendangan lagu-lagu evergreen, masyarakat Cina juga mempunyai lagu seumpama itu.

“Orang Cina pun ada lagu raya. Lagu yang paling saya suka bertajuk Cai Shen Dao yang bersifat klasik. Saya tak akan jemu mendengar lagu itu berulang kali,” katanya.

Tahun ini, Cindy sekali lagi akan pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina walaupun membuat persiapan pada saat-saat akhir.

Baki sambut Tahun Baru Cina sejak kecil

BUKANLAH sesuatu yang menghairankan apabila masyarakat Cina lebih mengenali selebriti 8TV, Baki Zainal, berbanding masyarakat Melayu.

Baki

Ke mana sahaja dia pergi peminat Cina lebih ramai mendekatinya untuk bergambar berbanding peminat Melayu. Semuanya kerana kefasihan Baki berbahasa Mandarin dan banyak muncul dalam drama serta program TV Cina.

Menyambut Tahun Baru Cina dan budaya yang diamalkan masyarakat Cina begitu sinonim dengan Baki kerana dia sering berdampingan dengan rakan-rakan keturunan Cina sejak kecil.

“Ibu saya ada darah Cina dan kebetulan emak angkat saya juga Cina. Setiap kali kedatangan Tahun Baru Cina saya akan menyambutnya, tidak kiralah bersama keluarga atau rakan,” katanya.

Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Pu Sze dan Sekolah Tinggi Foon Yew di Johor ini berkata menyambut Tahun Baru Cina adalah sesuatu yang menggembirakan, seperti mana masyarakat Melayu menyambut Aidilfitri.

“Berhimpun dan ‘makan besar’ pada petang sebelum menyambut Tahun Baru Cina adalah pengalaman sangat ‘manis’ untuk diingati. Kalau dalam masyarakat kita berkumpul di pagi raya, begitulah yang dirasakan masyarakat Cina bila giliran mereka menyambut raya,” katanya.

Sempena menyambut perayaan ini tidak lama lagi, pengacara program interaktif, Quickie ini telah menjelajah ke seluruh Malaysia untuk 178 siri Roadshow Tahun Baru Cina anjuran 8TV, bermula Disember 2010.

Baki yang mempunyai ramai sahabat keturunan Cina ini berpendapat sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia sangat unik kerana ia disambut pelbagai bangsa termasuklah masyarakat Cina yang telah memeluk Islam.

“Bagi yang telah masuk Islam, yang berubah hanyalah agama, tapi budaya dan tradisi Cina masih menjadi pegangan,” katanya yang akan muncul dalam filem Sini Ada Hantu, arahan James Lee tidak lama lagi.

Zenny ajak kawan ‘makan besar’ bersama keluarga

ZENNY, pemenang program realiti The Biggest Looser Asia At Home musim pertama tidak melepaskan peluang menyambut Tahun Baru Cina setiap tahun walaupun seluruh ahli keluarganya beragama Islam.

Zenny

Gadis kacukan Cina-Filipina ini berkata keluarganya masih berpegang teguh dengan tradisi dan amalan kaum Cina.

“Ibu saya keturunan Cina dan masuk Islam sebelum mereka berkahwin dengan bapa saya dari Filipina. Menariknya keluarga saya menyambut meriah Aidilfitri dan Tahun Baru Cina setiap tahun. Walaupun begitu, kami tahu ada batas-batas yang perlu diikuti. Kami hanya mempraktikkan amalan dan budaya Cina yang tak bertentangan dengan Islam seperti makan menggunakan chopstik, berhimpun dan makan stimbot beramai-ramai serta melawat sanak-saudara,” katanya.

Setiap tahun, Zenny menjemput kesemua rakan untuk makan besar bersama keluarganya termasuklah Cindy, Baki, Azizi dan Ben.

“Setiap tahun Azizi akan bersama-sama dengan keluarga saya untuk ‘makan besar’, begitu juga Baki. Dengan cara ini, mereka juga dapat menjalin hubungan baik dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain,” ujarnya yang akan menyambut Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur bersama ahli keluarga yang lain.

Azizi ‘makan besar’ lima tahun berturut-turut

“TAHUN Baru Cina sekarang ini lebih moden. Masyarakat Cina lebih bersifat terbuka. Mereka meraikannya dengan sesiapa sahaja walaupun berlainan agama dan bangsa,” kata Azizi.

Sekali pandang, Azizi nampak seperti jejaka Cina walaupun dia berbangsa Melayu. Barangkali kerana sering bersama rakan-rakan berbangsa Cina, secara tidak langsung imej dan identitinya juga hampir sama dengan rakan lain.

Menurut Duta Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia ini, tahun ini adalah tahun keenam dia akan ‘makan besar’ bersama keluarga Zenny.

“Saya anggap keluarga Zenny macam keluarga saya sendiri. Saya akan bersama-sama mereka lagi pada tahun ini. Saya bercadang mahu bawa hamper untuk keluarga Zenny kerana ia adalah adat apabila berkunjung ke rumah seseorang pada Tahun Baru Cina,” katanya.

Azizi baru sahaja tampil dengan ‘single’ kedua berjudul Selalu Cinta ciptaan Audi Mok dan Nurfatima.

Ben Sambut Deepavali, Tahun Baru Cina

Ben

BEN, atau nama sebenarnya Sabanjiven Samarajoo, 21 adalah jejaka kacukan Cina-India. Banyak terlibat dalam bidang pengacaraan dan bakal bergelar penyanyi tidak lama lagi, Ben senang menyambut dua perayaan iaitu Deepavali dan Tahun Baru Cina.

“Ibu saya Cina dan bapa saya berketurunan India. Setiap tahun kami akan sambut dua perayaan. Bila Tahun Baru Cina, paling saya suka tentulah angpau dan lebih penting dapat berkumpul bersama ahli keluarga di kampung saya yang terletak di Taiping, Perak,” katanya yang fasih berbahasa Hokkien dan Mandarin.

Jelasnya, walaupun Tahun Baru Cina disambut sederhana oleh keluarganya, namun ia tetap meriah tanpa meninggalkan tradisi turun-temurun.

iklan

iklan

Iklan