X Close

Kes Rosli Dahlan Saman SPRM Dan Kerajaan Ditetap 28 Februari

Diterbitkan: Isnin 17 Jan, 2011

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, Isnin, menetapkan 28 Februari untuk mendengar kes saman seorang peguam Rosli Dahlan terhadap 17 defendan termasuk pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan ekoran penahanannya dan seterusnya didakwa kerana gagal menyatakan maklumat mengenai asetnya.

Timbalan Pendaftar Anisah Normah Muhammad Noor menetapkan tarikh itu di dalam kamar di sini.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad mewakili defendan yang terdiri daripada pegawai SPRM, Timbalan Pendakwa Raya dan kerajaan memberitahu pemberita, bahawa pada tarikh itu hakim akan mendengar permohonan defendan ke-16 iaitu Pengurus di Unit Perisikan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rahman Abu Bakar untuk membatalkan saman itu kerana mendakwa ia menyalahi proses mahkamah.

Pada 16 September 2009, Rosli memfailkan saman berjumlah RM50 juta itu dengan menamakan pemilik dan penerbit Utusan Malaysia Bhd, sebagai defendan pertama, diikuti pengarang akhbar itu Datuk Mohd Zaini Hassan dan Abdul Rahim Lajis.

Pegawai SPRM yang turut dinamakan sebagai defendan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed (kini Ketua Pesuruhjaya) dan Timbalan Pengarah Penyiasatan dan Pendakwaan Kevin Morais.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rosli mendakwa penahanannya adalah salah di sisi undang-undang dan notis diserahkan kepadanya pada 17 Julai 2007 oleh SPRM sungguhpun agensi itu sedar bahawa siasatan terhadap anak guamnya iaitu bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, pada masa itu sedang berjalan.

Beliau mendakwa pemeriksaan untuk mendapatkan maklumat kedudukan kewangannya yang dijalankan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram oleh pegawai dari Bank Negara juga tidak wajar.

Peguam itu mendakwa bahawa SPRM (dahulunya Badan Pencegah Rasuah - BPR) memutuskan untuk mendakwa beliau meskipun beliau menawarkan secara bersumpah untuk memberikan butiran yang diperlukan mengikut notis itu.

Rosli juga mendakwa artikel berbaur fitnah yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Oktober 2007, iaitu menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, memuatkan berita seorang peguam kanan akan didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, empat defendan pertama daripada akhbar berkenaan telahpun memohon maaf dan permohonan maaf mereka tersebut disiarkan oleh akhbar itu pada 14 April 2008.

Rosli memohon untuk mendapatkan ganti rugi am RM20 juta dan ganti rugi teladan serta ganti rugi teruk RM30 juta.

Pada 20 Disember lepas Rosli dibebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan