X Close

Dua Anggota Polis Dipenjara, Denda RM10,000 Kerana Rasuah

Diterbitkan: Jumaat 24 Sept, 2010

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah dalam dua kes berasingan, seorang daripadanya menerima suapan daripada seorang anggota polis lain.

Dalam kes pertama, Koperal Abdul Rahim Kiram, 47, dihukum penjara dua tahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu, selepas didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang anggota polis berpangkat lans koperal, lima tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Abdul Rahim gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Abdul Rahim yang bertugas di Bahagian Risikan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kelihatan tenang sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Abu Bakar membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Abdul Rahim ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan mengarahkan peguam yang mewakili Abdul Rahim, Mohd Hairani Samsi memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya Isnin depan.

Abdul Rahim didakwa menerima suapan itu daripada Lans Koperal Hashim Haron sebagai dorongan iaitu kononnya untuk menyelesaikan kes Hashim dengan menutup satu fail merah yang dikatakan telah dibuka terhadapnya (Hashim) di Restoran Shiraj Curry House, Bandar Tasik Selatan di sini pada 10.45 pagi, 5 April 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.

Ketika merayu meminta hukuman ringan, Mohd Hairani berkata ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan tertuduh juga memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dilakukan ke atasnya.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hung Heng Hong, mengemukakan 14 saksi manakala Abdul Rahim memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, seorang anggota polis berpangkat sarjan dihukum penjara setahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 daripada seorang lelaki empat tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarjan Hassim Ma'asah, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti keterangan tertuduh dan saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dalam kes ini," katanya.

Hassim didakwa menerima suapan wang tunai RM300 daripada Muhammad Faizal Kamaluddin sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya, Osman Saifuddin Osman yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Restoran Putra, 101 Jalan Putra pada 2.30 petang, 10 Mei 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.

Terdahulu, peguam Azizul Shariman yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman yang paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya memandangkan jumlah yang terlibat adalah sedikit dan tiada unsur-unsur keganasan seperti ugutan dilakukan terhadap pengadu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Wong Toi Yoke memohon hukuman yang setimpal kerana rasuah merupakan satu kesalahan yang serius meskipun dalam kes ini jumlah wang yang diterima tertuduh adalah sedikit.

"Sebagai penjawat awam tertuduh tidak sepatutnya terlibat dalam kes rasuah kerana ia boleh menjejaskan imej dan reputasi kerajaan," katanya. Seramai 16 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan kes itu. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan