X Close

‘Morning Rocket’ Hujan Port Jual Cenderamata Band Indie

Diterbitkan: Isnin 30 Ogos, 2010

Noh. - Foto THE STAR Oleh IBRAHIM MOHTAR

BERITA terbaru bagi peminat band Hujan dan band indie lain, kedai Morning Rocket yang menjual pelbagai barangan seperti baju t, cakera padat dan cenderamata istimewa dari mereka mula dibuka pada Jumaat lalu.

Menurut vokalis Hujan, Noh atau nama sebenarnya Mohammed Noh Salleh, kedai tersebut terletak berhadapan dengan studio milik AG Hujan, Kamar Seni di Taman Tasik Permaisuri, Cheras baru.

“Sebelum ini ramai peminat band indie yang bertanya tentang bagaimana caranya untuk mendapatkan produk-produk Hujan. Jadi, sebab itu Dimas membuka kedai Morning Rocket khusus untuk para peminat band indie.

“Bukan sahaja barangan Hujan, mereka juga boleh mendapatkan barangan band-band indie lain. Dengan adanya studio dan kedai cenderamata itu, kami dapat meluaskan empayar Hujan. Insya-Allah,” katanya kepada mStar Online.

Menyentuh tentang album terbaru Hujan, kemungkinan ia akan berada di pasaran pada November tahun ini. Album itu akan memuatkan 14 buah lagu seperti Kotak Hati dan Bila Bulan Bermain Biola yang lebih berkonsepkan balada. Sementara lagu Kotak Hati merupakan lagu lama yang dirakamkan semula.

Setakat ini, semua 14 buah lagu telah siap dirakam dan sedang melalui proses mastering dan membuat kulit album yang dijangka selesai selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam perkembangan lain, Noh yang sedang popular menerusi lagu duet dengan kumpulan Mirwana berjudul Tika Masa juga sedang sibuk mengikuti pengajiannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) cawangan Kuala Lumpur dalam jurusan Komunikasi Massa.

“Saya sedang sibuk dengan kuliah dan tutorial pada setiap Selasa dan Rabu bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam,” ujarnya penuh teruja.

Selain itu, dia juga akan memenuhi jemputan berbuka puasa bersama-sama peminat di Singapura pada 3 September ini.

iklan

iklan

Iklan