X Close

Rogol Kanak-Kanak: Hukum Hudud Jalan Penyelesaian Terbaik – Pemuda PAS

Diterbitkan: Selasa 3 Ogos, 2010

PETALING JAYA: Hukum hudud ke atas perogol kanak-kanak adalah jalan terbaik bagi membanteras masalah jenayah seksual itu di negara ini.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohammad Suhaimi Abdul Aziz berkata pelaksanaan hukuman itu mampu mencegah bukan sahaja jenayah rogol malah semua jenayah lain yang melibatkan kanak-kanak.

Tegasnya, hukum hudud bukan perkara baru kerana ia termaktub dalam al-Quran dan as- Sunnah sebagai sebahagian daripada syariat Islam.

"Ternyata umat Islam terdahulu berjaya kerana mengamalkan hukum Islam ini. Hukuman hudud lebih berkesan dan realistik dengan keadaan semasa.

"Pelaksanaan hukuman hudud bukanlah suatu kezaliman. Ia mampu memberi ingatan keras kepada pelakunya serta memberi keinsafan dan kesedaran kepada masyarakat yang menyaksikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas, kes terbaru melibatkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang didakwa telah dirogol oleh pemandu bas sekolah yang dinaikinya.

Mengulas lanjut, Mohammad Aziz berkata, hukum hudud perlu segera dilaksanakan bagi menuntut keadilan terhadap semua pihak terutamanya terhadap mangsa rogol.

"Ia juga dapat dijadikan sebagai iktibar kepada setiap ahli masyarakat supaya mereka sentiasa beringat dan menjauhi perbuatan yang dilarang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menyokong cadangan yang dikemukakan Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mahu hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap perogol kanak-kanak.

“Cadangan Karpal supaya kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati, mirip dengan pelaksanaan hukum hudud. Ia wajar dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan.

“Mengikut Seksyen 376 (2) (e), Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

“Dewan Pemuda PAS berpendapat, hukuman seperti ini terlalu ringan, ketinggalan zaman dan hanya menjadi bahan ketawa penjenayah,” katanya.

Sabtu lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak dikenakan hukuman mati ekoran semakin ramai kanak-kanak menjadi mangsa rogol sejak kebelakangan ini.

Kenyataan beliau turut disokong oleh Soi Lek yang mahu mereka yang didapati bersalah melakukukan jenayah rogol terhadap kanak-kanak dikenakan hukuman yang lebih berat daripada hukuman sedia ada.

iklan

iklan

Iklan