X Close

Aizat Tak Bimbang Kerjaya Demi Pelajaran

Diterbitkan: Isnin 23 Ogos, 2010

Aizat tak gentar populariti menurun kerana belajar Foto DALILAH

PENYANYI popular Muhammad Aizat Amdan atau Aizat, 21, menjelaskan kerjayanya akan terus berjalan seperti biasa biarpun dia akan menyambung pelajarannya ke luar negara tahun hadapan.

Membuat keputusan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang teknologi muzik, Aizat sama sekali yakin keputusan tersebut merupakan matlamat jangka masa panjangnya sebagai artis.

Jelasnya, di usia yang masih muda, dia mahu mempelajari lebih mendalam ilmu berkaitan dengan muzik bagi masa depan kerjayanya.

"Saya mahu jadi seorang artis yang berilmu, Insyaallah keputusan untuk melanjutkan pelajaran selama tiga atau empat tahun tidak akan menjejaskan kerjaya, malah saya percaya pada rezeki Allah.

"Saya akan pastikan aktiviti muzik saya akan berjalan seperti biasa dan kalau ada undangan nyanyian yang penting saya akan balik, lagipun saya ke sana bukan kerana bercuti tetapi menuntut ilmu.

"Secara tidak langsung juga saya mahu mengintai peluang-peluang di sana, tidak kiralah di UK atau negara-negara lain melalui pelajar-pelajar mereka," ujar Aizat.

Kata penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu ini, peluang melanjutkan pelajaran sudah lama dirancang memandangkan usianya yang masih muda. Namun pemilihan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara bukan kerana kurang percaya kepada pendidikan di Malaysia.

"Saya sudah lama merancang untuk melanjutkan pelajaran, tapi ini adalah masa yang paling sesuai. Buat permulaan saya akan ke United Kingdom pada 27 Ogos ini untuk mengenalpasti Universiti paling sesuai dengan bidang yang saya ingin ambil.

"Setakat ini pilihan saya ialah di Thames Valley University sebab sekolah ini ada bidang teknologi muzik tapi saya perlu tenggok dulu tempat-tempat lain yang mana menawarkan bidang yang sama.

"Saya pilih UK kerana bidang teknologi muzik kurang di Malaysia begitu juga negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, bukan sebab saya tidak percaya dengan pendidikan yang ada di negara kita," katanya.

Bagaimanapun, Aizat mengakui bimbang dengan syarikat rakamannya Kasi Gegar Entertainment selepas pemergiannya.

"Perkara tersebut masih dalam perbincangan keluarga, kami belum memutuskan apa-apa lagi setakat ini," jelasnya.

iklan

iklan

Iklan