X Close

Tujuh Lelaki Ditahan Menyamar Sebagai Pelajar

Diterbitkan: Selasa 27 Jul, 2010

KUALA LUMPUR: Tujuh pemuda yang rindukan alam persekolahan ditahan polis semalam selepas menyamar sebagai pelajar di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati di sini.

Kesemuanya yang berumur 20 tahun lengkap berpakaian seragam sekolah termasuk seorang berbaju kurung ditahan ketika leka mengikuti pembelajaran dalam kelas, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan kepada Bernama, di sini pada Selasa.

"Mereka masuk ke sekolah itu kira-kira pukul 7.30 pagi dan menyertai perhimpunan pagi sekolah. Selepas tamat perhimpunan, ketujuh-tujuh bekas pelajar tersebut masuk ke kelas lama masing-masing iaitu kelas mereka ketika Tingkatan Lima sesi 2007," katanya.

Kehadiran 'pelajar baru' di dalam kelas itu disedari guru yang kemudian menghubungi polis.

"Hasil soal siasat, kami mendapati punca mereka menyamar sebagai pelajar sekolah itu atas alasan ingin kembali semula ke alam persekolahan. Mereka duduk dalam kelas dalam keadaan yang sopan tanpa sedikit pun mengganggu sesi pembelajaran," kata Abdul Jalil.

Beliau berkata, ketujuh-tujuh lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

"Kesemua lelaki itu tidak bekerja ataupun belajar. Polis telah memanggil ibu bapa masing-masing sebelum mereka dibebaskan kira-kira pukul 8 malam tadi.

"Polis kini sedang mengumpul maklumat dan masih dalam proses mengambil keterangan daripada guru dan pelajar sekolah itu. Siasatan juga sedang dijalankan sama ada bekas pelajar itu mempunyai niat untuk melakukan jenayah di sekolah berkenaan," kata Abdul Jalil.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan