X Close

Bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Dirujuk Kepada Lembaga Disiplin

Diterbitkan: Rabu 21 Jul, 2010 MYT 7:07:00 PM
Dikemaskinikan: Rabu 21 Jul, 2010 MYT 8:19:28 PM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang, Datuk Mohd Zain Ismail dirujuk kepada Lembaga Disiplin Umno kerana melanggar disiplin parti dengan mengadakan mesyuarat Umno bahagian berkenaan secara berasingan.

Selain beliau dua lagi yang menerima nasib yang sama ialah bekas Naib Ketua Bahagian, Razali Abdullah dan Ketua Puteri bahagian berkenaan, Norhayati Mohamad.

Keputusan berkenaan diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini pada Rabu.

"Oleh kerana perkara ini menyentuh soal disiplin dalam parti, maka MT bersetuju merujuk mereka kepada Lembaga Disiplin Umno untuk mempertimbangkan keputusan yang wajar diambil," katanya.

Pada 26 Jun lalu dua puak dalam Umno bahagian itu mengadakan persidangan perwakilan serentak iaitu yang Ketua Bahagiannya Abdullah Mat Yasin di Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan yang diketuai Mohd Zain di dewan Umno bahagian itu.

Selain itu menurut Perdana Menteri, MT juga bersetuju supaya pentadbiran bahagian berkenaan diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan sehingga pergolakan dalam bahagian itu kembali pulih.

Mengenai kekecohan yang berlaku pada mesyuarat Umno Bahagian Sungai Petani, Najib berkata, pentadbiran bahagian berkenaan juga kini diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno Kedah untuk diuruskan buat sementara waktu.

"Pengambilalihan kuasa pentadbiran oleh Badan Perhubungan Umno negeri-negeri berkenaan adalah untuk sementara waktu... bila sudah kembali pulih, kita beri balik kuasa kepada Umno bahagian itu.

"Ini bukan sesuatu perkara yang luar biasa, ia pernah berlaku dalam Umno," katanya.

Katanya lagi, Badan Perhubungan Umno negeri boleh memainkan peranan bagi mengatasi masalah wujudnya puak-puak dalam sesuatu bahagian yang terlibat.

"Kita beri kepada perhubungan negeri kerana kalau ada dua puak, Umno negeri boleh ambil keputusan yang tidak memihak kepada mana-mana puak... dengan cara ini kita harap mereka dapat pulihkan keadaan dan cantum semula," katanya.

Ditanya mengenai masalah yang timbul dalam Umno Bahagian Setiu, Terengganu, Najib berkata: "Kita ambil maklum, tapi MT belum ambil apa-apa keputusan lagi."

iklan

iklan

Iklan