X Close

Tribunal Dapatkan Pampasan RM400 Juta Untuk Pembeli Rumah

Diterbitkan: Ahad 9 Mei, 2010

KUALA LUMPUR: Sejak ditubuhkan tujuh tahun lepas, Tribunal Bagi Tuntutan Pembeli Rumah menerima hampir 4,000 aduan setiap tahun, dengan purata 10 aduan setiap hari, daripada para pembeli rumah yang menghadapi masalah dengan pemaju.

Sehingga tahun lepas, tribunal yang diwujudkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini, berjaya menyelesaikan 93.7 peratus daripada keseluruhan 27,277 kes yang dirujuk kepadanya dan membolehkan pembeli mendapat pampasan berjumlah hampir RM400 juta.

"Pengadu mendapat antara RM10,000 dan RM15,000 daripada pemaju, kebanyakannya kerana kelewatan penyerahan," kata timbalan pengerusi tribunal itu Pretam Singh kepada Bernama.

Tribunal ini hanya mengendalikan kes melibatkan tuntutan bernilai kurang daripada RM50,000, manakala mereka yang ingin membuat tuntutan melebih jumlah itu perlu melakukannya melalui tindakan undang-undang.

Pretam berkata sejak tujuh tahun lepas, pembeli rumah di Selangor adalah kumpulan paling ramai membuat tuntutan melalui tribunal itu dengan jumlahnya mencecah 16,425 orang, diikuti 2,840 dari Kuala Lumpur dan 1,804 dari Pulau Pinang.

Tiada aduan diterima daripada pembeli rumah di Perlis dan Terengganu, katanya.

Beliau berkata dengan hanya membayar RM10, pembeli rumah boleh memfailkan tuntutan pampasan bagi kerugian yang mereka alami atau sebarang perkara berkaitan kepentingan mereka melalui tribunal itu.

Tribunal ini tidak akan melayan sebarang aduan berhubung kes yang telah dibawa ke mahkamah dan keputusan yang dibuatnya berhubung sesuatu pertikaian boleh dibawa ke mahkamah oleh pihak yang terbabit, kata beliau.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), melalui pusat aduan pembelinya, pula menerima lebih 2,000 aduan setiap tahun daripada pembeli rumah yang tidak berpuas hati dengan kelewatan penyerahan dan kecacatan yang terdapat pada rumah yang dibeli.

"Bocor, retak, pendawaian yang tidak selamat dan simen yang pecah merupakan aduan yang paling banyak kami terima dan semua ini perlu diselesaikan dalam tempoh 18 bulan selepas penyerahan," kata setiausaha agung Fomca Muhammad Sha'ani Abdullah.

Beliau berkata pembeli rumah juga mengadu tentang perbuatan pemaju mengenakan bayaran tempahan sebelum pemeteraian perjanjian jual beli dan perbuatan ini ternyata melanggar Akta Pembangunan Perumahan.

Katanya satu lagi perkara yang sering menjadi sungutan orang ramai ialah iklan mengelirukan oleh pemaju tentang penyediaan pintu pagar automatik, kabinet dan perabot secara percuma.

Banyak pembeli rumah mengadu mereka hanya sedar diperdaya pemaju berhubung tawaran itu setelah menerima kunci rumah masing-masing.

Sementara itu, setiausaha agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Chang Kim Loong berkata pemaju perumahan tidak boleh mengenakan yuran tempahan terhadap bakal pembeli.

"Bakal pembeli rumah perlu sedar tentang perkara ini dan mereka hanya perlu membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga rumah apabila membuat keputusan untuk membeli sesebuah rumah," kata Chang, yang juga seorang peguam.

Beliau juga menasihati pembeli rumah agar tidak menggunakan khidmat peguam yang sama dengan yang digunakan pemaju.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Datuk Ng Seing Liong pula berharap kerajaan akan meluluskan penubuhan dana yang dicadangkan persatuan itu bagi membantu pembeli rumah apabila berlaku kes projek terbengkalai.

"Penubuhan dana ini diharapkan menjadi kenyataan bagi melindungi pembeli rumah apabila rumah yang mereka beli tidak disiapkan atau terbengkalai," katanya.

Redha mencadangkan agar semua pemaju perumahan di negara ini menyumbang 0.25 atau 0.5 peratus daripada nilai projek masing-masing kepada dana itu, katanya.

Beliau berkata dalam tempoh 20 tahun lepas, 1.5 peratus daripada 148 projek perumahan terbengkalai akibat pelbagai masalah seperti kekurangan pembeli dan salah pengurusan.

"Pembeli rumah hanya boleh mendapatkan bantuan tribunal tuntutan bagi projek yang telah siap dan sekiranya sesuatu projek itu terbengkalai, mereka tidak boleh mengemukakan tuntutan melalui tribunal itu," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang khidmat tribunal berkenaan boleh berbuat demikian dengan melayari www.kpkt.gov.my/tribunal. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan