X Close

Kurang Penghayatan Agama Punca Utama Kes Buang Bayi

Diterbitkan: Sabtu 1 Mei, 2010

MELAKA: Kurang penghayatan agama pada kalangan belia adalah antara punca utama berlakunya kes pembuangan bayi yang berleluasa sekarang.

Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Melaka(BISTARI) Datin Seri Asmah Abd Rahman berkata, kekurangan didikan agama menyebabkan belia hidup bebas dan mudah terjebak di dalam maksiat yang akhirnya membawa kepada pembuangan.

"Ibu bapa perlu mengambil peranan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama dan kerohanian sejak kecil lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen 1Malaysia 1Melaka Kami Prihatin peringkat negeri, di sini hari ini.

Asmah yang juga isteri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata ibu bapa tidak boleh mengabaikan anak-anak mereka sekalipun dibebani dengan kerja harian.

Ini kerana kata beliau, pengaruh rakan sebaya mampu membawa anak-anak yang kurang diberi perhatian ke kancah tidak bermoral.

Selain itu kata Asmah, penyalahgunaan media massa khususnya internet oleh belia turut menyumbang kepada penglibatan mereka dalam aktiviti tidak bermoral.

Bagi menangani isu sosial itu, beliau berkata BISTARI akan membantu kerajaan Melaka untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan di negeri tersebut.

Antara program yang akan dibuat ialah mengedarkan risalah di tempat awam, serta menganjurkan seminar sehari pada 24 Julai ini bagi meningkatkan kesedaran pada kalangan belia mengenai permasalahan sosial itu, katanya. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan