X Close

Bukan Sembarangan Rempit, 'Adnan Sempit' Ada Stail

Diterbitkan: Jumaat 9 Apr, 2010

Barisan pelakon Adnan Sempit bersama pengarah Ahmad Idham dan penerbit David Teo di pratonton filem itu bulan lalu. - Foto oleh Utusan

FILEM terbaru pengarah prolifik, Ahmad Idham, Adnan Sempit mula menjengah panggung hari ini. Untuk ke sekian kalinya, Idham tampil dengan filem yang mampu memenangi hati dan selera penonton kita.

Kecoh sebelum ini, ada kemungkinan Adnan Sempit akan digam gara-gara kontroversi judul asalnya, Nan Rempit dan plot yang menggalakkan budaya rempit di kalangan anak muda Malaysia.

Namun, David Teo selaku tuan besar MIG Production bijak menangani isu tersebut. Akhirnya, Adnan Sempit mendapat 'lampu hijau' daripada Lembaga Penapisan.

Intan Ladyana hanya sekadar 'pose' cantik dan kurang menyerlah seperti yang dijangkakan.

Menyentuh serba ringkas mengenai filem bergenre romantik aksi ini, persembahan dan garapan Adnan Sempit bolehlah dinilai sebagai sebuah filem yang sederhana sahaja.

Jalan ceritanya ringkas, plot penceritaannya jelas dan penonton, terutamanya peminat filem-filem keluaran MIG pasti akan terhibur dengan filem ini.

Walaupun pada mata kasar, filem ini seakan 'kosong' dan 'tiada jiwa' tetapi yang penting mesej dan aspek hiburan yang cuba diterapkan Idham, nyata berjaya.

Justeru, Idham harus dipuji kerana bijak dan cekap membikin filem yang bukan sahaja boleh dijual, malah menepati selera jemaah penonton kita.

Apa perlunya nak pertikaikan itu dan ini tentang filem ini jika kesudahannya kelak, Adnan Sempit pecah panggung. Yang penting, Idham dan David Teo pandai memancing penonton kita dengan filem yang bukan sahaja menghiburkan malah memuatkan plot dan mesej yang berguna.

Mungkin di kalangan cerdik pandai filem akan berasa skeptikal dengan pujian dan pandangan ini, tetapi kita berpijak di bumi yang nyata, sebagaimana tahun-tahun yang lepas, filem-filem keluaran MIG tetap gah satu demi satu biar apa judul dan genre filem yang ditayangkan sekali pun.

Gandingan Intan dan Sam nampak comel dan serasi.

Suntikan elemen kritikan sosial ini dilihat berjaya diterjemahkan dengan baik. Walaupun kekurangannya ketara di sana-sini, namun sebagai sebuah filem ringan, Adnan Sempit pasti menghiburkan anda.

Bukannya pro Idham atau pun filem MIG, tetapi rekod membanggakan yang dicapai oleh gabungan dua usahawan filem ini memang menjadi.

Kini, pertaruhannya si kacak Shaheizy Sam dan Intan Ladyana yang manis jelita sebagai teraju utama. Mahu tidak mahu, gandingan ini mampu untuk menarik penonton untuk membayar barangkali RM10 untuk sekeping tiket bagi menyaksikan filem ini.

Shaheizy Sam atau nama sapaannya Sam, pertama kali diangkat sebagai pelakon utama. Sememangnya bakat dan pakej yang dimiliki Sam merupakan kelebihan terbaik buatnya memancing penonton. Di sudut lakonan pula, Sam cukup disenangi sebagai bintang utama dan cekap memainkan wataknya Adnan.

Sam yang pertama kali memainkan watak utama sebagai Adnan berlakon dengan baik dan sempoi sekali.

Dipasangkan dengan aktres jelita Intan Ladyana sebagai Nadia, kelibat gadis ini masih seperti dulu dan tidak banyak perubahan. Intan masih juga seperti mana yang kita lihat dalam Jangan Pandang Belakang, kira-kira tiga tahun lalu. Lakonannya masih belum meyakinkan.

Sekadar pose cantik tapi lakonan kurang penghayatan. Mungkin Intan telah mencuba sebaik mungkin dan itu sahaja yang mampu diberinya. Tetapi tidak mengapa, sebab kehadiran Intan tetap menyerikan Adnan Sempit.

Disokong oleh pelakon-pelakon lain seperti Norliana Samsudin atau Yana, Along Cham, Zack X-Factor, cat Farish, Julia Hana dan Angah Raja Lawak.

Watak-watak pembantu ini agak menghiburkan, walaupun ada ketikanya sedikit menjengkelkan. Rata-rata, semua pelakon memberikan lakonan yang biasa-biasa sahaja.

Sementelah, tuntutan filem ini tidak memerlukan lakonan yang bertaraf 'A' pun. Jadi, apa yang mereka tampilkan itu rasanya sudah memadai. Yang penting, mesejnya sampai, jalan cerita menghiburkan dan filem terjual.

Bak kata penerbitnya, David Teo, "Saya buat filem bukan untuk menang anugerah, tetapi untuk buat duit, ma..."

Berpaksikan kenyataan itu, jika anda rasa meluat atau 'letih' dengan filem-filemnya tidak perlulah paksa diri pergi menonton, tapi jika hiburan ringan dan sedikit mesej yang anda dambakan, jawapannya ada pada Adnan Sempit.

Gandingan anak-anak muda (dari kiri) Along, Yana, Intan dan Sam mampu tarik penonton ke panggung.

Saranan untuk saudara-saudari 'kaki motor' di luar sana juga, tontonlah filem ini, pasti akan terhibur dan ambillah sedikit iktibar daripada filem ini.

Adegan yang paling meninggalkan impak sudah tentunya babak terakhir, di mana watak Nadia (Intan) terjatuh ke belakang apabila Adnan (Sam) membuat aksi wheelie dengan motornya sebaik lampu isyarat bertukar warna hijau. Memang rempit kental!

iklan

iklan

Iklan