X Close

Lebih Banyak Jururawat Berijazah Di Hospital-Hospital Awam

Diterbitkan: Ahad 4 Apr, 2010

PUTRAJAYA: Perkhidmatan perubatan di Malaysia sedang mengalami satu perubahan dengan perkhidmatan yang lebih baik terutama di wad-wad klinikal berikutan lebih banyak jururawat berijazah diambil untuk berkhidmat di tempat-tempat itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan kira-kira 2,000 jururawat berijazah setahun melalui Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan dari universiti awam dan swasta.

"Di peringkat kementerian, kami mampu melatih 8,000 orang di kolej dan sekolah-sekolah kejururawatan tetapi sekolah dan kolej ini tidak menawarkan kursus peringkat ijazah. Oleh itu, pada masa ini, kami sedang bekerjasama dengan universiti awam dan swasta untuk melatih lebih ramai jururawat.

"Dengan ini, kami berharap lebih ramai jururawat berijazah dapat dilahirkan dalam usaha kami untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, terutama di bidang klinikal," katanya.

Tiong Lai berkata dengan adanya lebih ramai jururawat berijazah, ia membolehkan kementerian untuk meletakkan mereka di wad-wad klinikal.

"Sekarang kami mahu jururawat klinikal, berkhidmat di wad-wad klinikal, bagi mempertingkatkan perkhidmatan. Untuk melakukannya, kami juga sedang dalam proses untuk melaraskan gred bagi jururawat yang ada di bawah Kementerian Kesihatan agar setanding dengan jururawat berijazah yang baru menyertai perkhidmatan di bawah skala gaji U41," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa 19 Sekolah dan Kolej Kejururawatan di bawah Kementerian Kesihatan hanya menawarkan kursus sehingga ke peringkat diploma dan mereka menyertai perkhidmatan dengan gred U29.

"Sebelum ini, walaupun selepas para jururawat ini dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah dan menjadi jururawat berijazah, mereka hanya boleh dinaikkan ke U32, lebih rendah daripada jururawat berijazah yang baru yang akan diletakkan serta merta di bawah gred U41.

"Kami telah melaraskan tangga gaji mereka supaya jururawat ini yang menyertai perkhidmatan di bawah U29, sebaik mereka menjadi jururawat berijazah, mereka akan diletakkan di bawah tangga gaji lebih tinggi pada U42," katanya.

Pada masa ini, tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menawarkan ijazah kejururawatan, melahirkan 413 jururawat berijazah setiap tahun manakala 13 universiti swasta juga menawarkan ijazah sarjana muda dalam kejururawatan dengan jumlah pengambilan 1,760 pelajar.

Jumlah pengambilan bagi universiti awam dan swasta ialah 2,173 pelajar.

Tiong Lai berkata terdapat dua jenis pengambilan bagi jururawat berijazah dalam perkhidmatan perubatan, iaitu bagi jururawat terlatih di bawah gred U29, U32 dan U36 bagi lulusan dengan diploma dan dengan pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun yang akan diletakkan pada gred U42.

Pengambilan lain ialah bagi mereka dengan kelulusan Sijil Tingi Pelaran Malaysia (STPM) atau program matrikulasi yang akan menjalani kursus empat tahun dan sebaik tamat, akan diletakkan di bawah gred U41.

Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan merupakan ijazah akademik empat tahun dalam bidang prinsip dan sains kejururawatan, dari sebuah universiti pendidikan tinggi atau sekolah yang diberikan tauliah yang sama.

Walaupun seseorang itu layak untuk menduduki peperiksaan berlesen untuk menjadi seorang jururawat berdaftar selepas lulus dari satu program dua tahun dengan ijazah bersekutu atau daripada satu program kejururawatan empat tahun dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan, ijazah itu menyediakan jururawat untuk memainkan peranan profesional dalam perkhidmatan.

Seperti yang disuarakan Presiden Persatuan Jururawat Malaysia (MNA) Matron Ramziah Ahmad, ia merupakan objektif persatuan itu untuk melihat lebih ramai jururawat berijazah dikeluarkan di negara ini.

"Dengan lebih banyak jururawat berijazah, kualiti penjagaan kejururawatan dapat dicapai. Dengan adanya jururawat berijazah sama ada dengan ijazah, ijazah sarjana atau PhD, mereka dapat memberikan pendapat dan berkongsi pengetahuan dan maklumat mereka dengan para doktor.

"Ini akan memastikan kualiti perkhidmatan kepada para pesakit, asalkan kita dapat melahirkan lebih ramai jururawat berijazah kerana bilangan jururawat berijazah masih kecil," katanya dengan menambah bahawa banyak jururawat matron dan sister sekarang bukan jururawat berijazah.

Terdapat tiga bidang pengkhususan bagi jururawat berijazah klinikal, pentadbiran dan pendidik.

Setakat Februari 2010, terdapat sejumlah 40,208 jururawat bekerja di sektor kesihatan awam manakala 16,800 lagi dengan perkhidmatan swasta.

Hanya 555 merupakan jururawat berijazah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan manakala 321 dengan sektor swasta. - BERNAMA

iklan

iklan

Iklan